TUDB kunjungi Pusat Sejarah Brunei

TUDB kunjungi Pusat Sejarah Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Seramai 50 orang peserta kursus Kepimpinan Sarjan Siri 1/2016, Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) berserta lima orang pegawai pengiring telah mengadakan lawatan sambil belajar di Pusat Sejarah Brunei, di sini, semalam.

Objektif utama lawatan tersebut adalah untuk mengetahui sejarah Brunei di samping memberikan pengetahuan dan pengalaman kepada peserta kursus tentang fungsi dan peranan Pusat Sejarah Brunei di samping mengeratkan silaturahim di antara peserta-peserta kursus dengan warga Pusat Sejarah Brunei.

Rombongan diketuai oleh Kpt (U) Pengiran Muhd Qamarul Ehsan bin Pengiran Haji Hassan.

Atur cara lawatan dimulai dengan kata alu-aluan daripada Ketua Bahagian Pameran dan Perkhidmatan, Pengiran Hajah Mahani binti Pengiran Haji Ahmad.

Kemudian taklimat mengenai fungsi dan peranan Pusat Sejarah Brunei telah disampaikan oleh Ketua Unit Lawatan dan Pameran, Hajah Siti Aisah binti Pungut.

Anggota TUDB menyaksikan demonstrasi Khat Jawi dari Unit Khat Jawi.
Anggota TUDB menyaksikan demonstrasi Khat Jawi dari Unit Khat Jawi.
Anggota TUDB mendengarkan taklimat daripada Pengiran Hajah Mahani.
Anggota TUDB mendengarkan taklimat daripada Pengiran Hajah Mahani.

Demonstrasi Takapan Batu Nisan dari Unit Pemuliharaan dan Takapan dan tunjuk ajar Khat Jawi dari Unit Khat Jawi mengisi acara seterusnya.

Selepas jamuan, rombongan dibawa melawat ke galeri-galeri pameran dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.

Pada tahun 2015, dua rombongan dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) iaitu Peserta Kursus Kepimpinan Sarjan Siri 1/2015, Markas Institut Latihan ABDB dan peserta-peserta Program PASCA Pemulihan Narkotik, Kaunselor dan Fasilitator, Jawatankuasa Pusat Kawalan Narkotik ABDB (JPKN ABDB) juga telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Pusat Sejarah Brunei sebagai sebahagian daripada aktiviti program berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA