TUDB lancar arca dan kapsul masa

TUDB lancar arca dan kapsul masa

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) mengadakan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 dan Jubli Emas TUDB secara sederhana dengan melancarkan Arca Ulang Tahun TUDB ke-50 dan Kapsul Masa yang baru yang diadakan di Pusat Gerakan Udara (AMC), TUDB, Rimba, hari ini.

Perasmian pelancaran arca disempurnakan oleh Pemerintah TUDB, Brigedier Jeneral (U) Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah. Ia turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan, pegawai dan jemputan TUDB lainnya.

Komander Skuadron Sekolah Latihan Penerbangan, No.7 Wing, Mejar (U) Pengiran Mohd Zulhusmi bin Pengiran Mohd Roslan dalam kata alu-aluannya menyatakan perasaan bangga dengan pencapaian pasukan berkenaan.

Katanya, pelancaran arca itu bukan sahaja menandakan Sambutan Ulang Tahun ke-50 yang bersejarah bagi TUDB tetapi ia juga menekankan hubungan erat setiap anggota organisasi TUDB iaitu di antara warga tentera dan warga awam.

Beliau berkata, idea bagi pembinaan arca ulang tahun itu dirancang pada awal 2016, bermatlamat untuk menjadi satu tanda kenangan bagi anggota lelaki dan wanita yang telah berkhidmat sepanjang sejarah penubuhan 50 tahun TUDB.

Brigedier Jeneral (U) Shahril Anwar memotong reben melancarkan Arca Ulang Tahun TUDB ke-50.
Brigedier Jeneral (U) Shahril Anwar memotong reben melancarkan Arca Ulang Tahun TUDB ke-50.
Brigedier Jeneral (U) Shahril Anwar menyampaikan sijil penghargaan kepada kakitangan TEMD dan para pelajar dari Universiti Teknologi Brunei.
Brigedier Jeneral (U) Shahril Anwar menyampaikan sijil penghargaan kepada kakitangan TEMD dan para pelajar dari Universiti Teknologi Brunei.

Ia juga sebagai satu komponen penting bagi Pangkalan Udara Rimba bagi tahun-tahun yang akan datang, ujar beliau.

Pembinaan Arca Ulang Tahun TUDB ke-50, mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan dan dibina sepenuhnya oleh kakitangan Bahagian Kelengkapan Teknikal dan Pemeliharaan (TEMD) serta dibantu oleh pelajar-pelajar dari Universiti Teknologi Brunei yang membuat latihan penempatan kerja mereka di TUDB.

Pembinaan arca berkenaan adalah menggunakan bahan-bahan terpakai yang sedia ada.

Brigedier Jeneral (U) Shahril Anwar bergambar ramai dengan pegawai-pegawai kanan TUDB di hadapan Arca Ulang Tahun TUDB ke-50.
Brigedier Jeneral (U) Shahril Anwar bergambar ramai dengan pegawai-pegawai kanan TUDB di hadapan Arca Ulang Tahun TUDB ke-50.

Majlis hari ini turut menyaksikan penanaman empat biji kapsul masa baru yang akan dipelihara dan dibuka pada 25 tahun akan datang untuk generasi TUDB masa depan pada 24 Jun 2041.

Sementara itu, Brigedier Jeneral (U) Shahril Anwar dalam ucapan ringkasnya di majlis berkenaan menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menghasilkan arca dan menjayakan majlis sambutan ringkas yang penuh bermakna itu.

Beliau juga amat menghargai semua sumbangan dan usaha yang telah diberikan oleh semua pihak terutama dalam pembinaan Arca Ulang Tahun TUDB ke-50 dan komitmen mereka untuk menjayakan projek itu.

Pada majlis itu Brigedier Jeneral (U) Shahril Anwar turut menyampaikan sijil penghargaan kepada kakitangan TEMD dan para pelajar dari Universiti Teknologi Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA