TUDB sambut Jubli Emas

TUDB sambut Jubli Emas

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), hari ini meraikan Sambutan Jubli Emas Ulang Tahun ke-50 dalam upacara perbarisan yang membawa tema ‘Generasi TUDB Berwawasan’ di Pusat Gerakan Udara, Pangkalan Tentera Udara Rimba.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemerintah TUDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah.

Seramai 50 orang mantan pemerintah TUDB, sarjan-sarjan mejar yang bersara dan para pegawai kanan TUDB yang telah berkhidmat dan menyumbang kepada penubuhan TUDB sejak 50 tahun lalu hadir pada majlis berkenaan.

Upacara perbarisan yang merupakan kemuncak sambutan berkenaan melibatkan seramai 157 orang anggota yang terdiri daripada lapan orang pegawai dan 149 orang lain-lain peringkat.

Pemerintah TUDB bersama jemputan-jemputan yang lain.
Pemerintah TUDB bersama jemputan-jemputan yang lain.
Pemerintah TUDB ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Pemerintah TUDB ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Majlis kemudian diikuti dengan ucapan Pemerintah TUDB, yang antara lain menasihatkan pegawai-pegawai dan anggota TUDB agar mempunyai sikap yang betul dan sifat yang diperlukan dengan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kecerdasan, kemahiran serta sentiasa bersedia dari segi fizikal dan mental agar mereka dapat diberi peluang dan dihantar untuk bertugas di bawah organisasi antarabangsa lain yang diiktiraf negara.

Beliau juga menegaskan bahawa saluran komunikasi dua hala sentiasa terbuka daripada peringkat bawahan hingga ke peringkat atasan TUDB. Saluran komunikasi tersebut, menurut beliau, hendaklah dimanfaatkan dengan sewajarnya.

Sesi bergambar ramai antara Pemerintah TUDB, mantan-mantan pemerintah TUDB dan pegawai serta anggota TUDB yang lain.
Sesi bergambar ramai antara Pemerintah TUDB, mantan-mantan pemerintah TUDB dan pegawai serta anggota TUDB yang lain.
Upacara perbarisan selaku kemuncak sambutan Jubli Emas TUDB.
Upacara perbarisan selaku kemuncak sambutan Jubli Emas TUDB.

“Kita hendaklah lebih bertanggungjawab di atas tindak-tanduk yang diambil, bijak dan berkredibiliti dalam menyampaikan maklumat dengan pihak luar seperti media dan orang awam,” tambah beliau sambil menasihatkan agar pegawai-pegawai dan anggota TUDB meningkatkan kelayakan profesionalisme, membudayakan tabiat suka membaca dan menjaga kesihatan dengan cara mengamalkan budaya hidup sihat.

Majlis disudahi dengan bacaan Doa Selamat, upacara memotong kek ulang tahun dan sesi beramah mesra bersama anggota-anggota TUDB.

Aspirasi tema ‘Generasi TUDB Berwawasan’ berkenaan adalah untuk melahirkan pemimpin-pemimpin masa depan yang berkaliber untuk memenuhi visi dan misi TUDB.

ARTIKEL YANG SAMA