TUDM dijangka terima Airbus A400m keempat

TUDM dijangka terima Airbus A400m keempat

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka menerima pesawat keempat Airbus A400M pada awal tahun depan, kata Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Roslan Saad.

Beliau berkata pesawat itu adalah yang terakhir selepas tiga pesawat sama diterima TUDM masing-masing pada awal dan pertengahan tahun ini serta Mac 2015. Menurutnya, pesawat berkenaan mempunyai teknologi yang canggih dan dapat memperkasakan benteng sistem pertahanan udara.

“Kita sudah ada tiga pesawat berkenaan dan terdapat ‘perisian baharu’ yang akan dimasukkan dalam pesawat keempat ini,” katanya kepada pemberita selepas Upacara Pemakaian Pangkat 17 Pegawai Kanan TUDM di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Jeneral Tan Sri Roslan Saad (kanan) mengucapkan tahniah kepada Mej Jen Dato’ Johar Razali bin Haji Ahmad semasa upacara kenaikan pangkat TUDM di Kementerian Pertahanan kelmarin. – Bernama
Jeneral Tan Sri Roslan Saad (kanan) mengucapkan tahniah kepada Mej Jen Dato’ Johar Razali bin Haji Ahmad semasa upacara kenaikan pangkat TUDM di Kementerian Pertahanan kelmarin. – Bernama

Pesawat A400M mempunyai jangkauan operasi yang lebih jauh serta berkeupayaan untuk mengangkut kapasiti kargo yang lebih besar berbanding pesawat yang dimiliki TUDM ketika ini.

Selain untuk tujuan pertahanan, pesawat itu juga berupaya melaksanakan misi yang merangkumi penugasan berkaitan pemindahan perubatan, pengisian bahan bakar di udara, penghantaran udara (penerjun dan lojistik) serta operasi bantuan bencana dan kemanusiaan. – Bernama