Tudor dijangk...

Tudor dijangka gantikan Riekerink

ISTANBUL, 16 Feb – Gergasi istanbul, Galatasary baru-baru ini telah mengumumkan bahawa mereka dijangka melantik bekas pemain antarabangsa Croatia, Igor Tudor sebagai pengurus baru selepas memecat pengurus dari Belanda, Jan Olde Riekerink kerana beberapa keputusan perlawanan yang tidak meyakinkan.

Eksekutif-eksekutif teratas Galatasary telah mengadakan mesyuarat kecemasan mengenai masa depan warga Belanda itu berikutan kekalahan 1-2 di laman sendiri kepada Kayserispor hujung minggu lalu, menurut agensi berita harian Hurriyet dan Dogan.

Sebuah mesyuarat lembaga yang rasmi kemudian telah mengesahkan keputusan untuk memecat Riekerink, yang hanya berada di kelab selama setahun, dan melantik Tudor menggantikan tempatnya, menurut beberapa laporan.

Tudor, yang ketika ini mengendalikan karabukspor di Turki, telah bersetuju dengan perjanjian selama setahun setengah dengan gergasi Istanbul tersebut, menurut agensi berita Dogan.

Perlantikan itu dijangka diumumkan dalam beberapa hari ini oleh Galatasary, menurut laporan tersebut.

Harian Fanatik berkata Galatasary akan membayar Karabukspor sebanyak 150,000 euro (AS$160,000) sebagai ganti rugi.

Tetapi beberapa laporan telah menyatakan reaksi marah daripada pengerusi Karabukspor, Ferudun Tankut, yang menuduh kelab kaya Istanbul itu mencuri jurulatih mereka.

Dia berkata kelab tersebut hanya mengetahui berita-berita itu dari media dan berkata ia akan membuat bantahan kepada persekutuan bola sepak Turki atas ‘ketidakadilan’ itu. – AFP