‘Tugas belum tamat’ selepas banjir surut

‘Tugas belum tamat’ selepas banjir surut

SERIAN, 2 Mac (Bernama) – Bagi anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), tuga mereka belum tamat walaupun banjir sudah surut dan pusat pemindahan banjir di Balai Raya Kampung Slabi Entungkuh di sini ditutup pagi Rabu.

Kini mereka menghulurkan bantuan dalam kerja pembersihan pula susulan banjir yang melanda sejak Sabtu lepas.

Lt Muda (PA) Jostan Ringin, 55, yang mengetuai 16 anggota JPAM sibuk membersihkan bangunan Gereja St Henry dan bahagian bawah struktur bangunan prasekolah Sekolah Kebangsaan St Henry di kampung itu yang diselaputi lumpur.

Selain JPAM, turut membantu dalam gotong-royong membersihkan dua lokasi berkenaan ialah anggota tentera, anggota polis serta penduduk kampung.

Para anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Sarawak (JPAM) sedang menguruskan kira-kira 13 tan sumbangan makanan yang diterima dari orang ramai untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Sarawak. – Bernama
Para anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Sarawak (JPAM) sedang menguruskan kira-kira 13 tan sumbangan makanan yang diterima dari orang ramai untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Sarawak. – Bernama

“Untuk bangunan prasekolah pula hanya bahagian bawah bangunan terjejas … cuci dan bersihkan daripada lumpur yang dibawa banjir,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kampung itu.

Kampung Slabi Entungkuh didiami 93 keluarga, biarpun tidak semua rumah ditenggelami banjir gelombang kedua pada Sabtu lepas, banjir mengakibatkan kemusnahan sawah padi, tanaman pisang dan kehilangan haiwan ternakan.

“Tugas kan kena buat sebaik mungkin,” kata Jostan.

Beliau juga bersyukur kerana tiada rumah anggotanya terlibat dalam banjir dan seterusnya mereka dapat memberi tumpuan kepada kerja memantau dan menjaga mangsa di pusat pemindahan dan kini kerja pembersihan.