Tugas ‘besar’ tunggu Obama

Tugas ‘besar’ tunggu Obama

WASHINGTON, 24 Ogos (AFP) – Presiden Barack Obama kembali ke Washington lewat semalam selepas menghabiskan percutian selama dua minggu di pulau mewah Martha’s Vineyard bersama-sama dengan keluarganya.

Air Force One mendarat pada pukul 6:42 petang (2242 GMT) di Pangkalan Udara Andrews di luar Washington.

Obama, isterinya Michelle dan dua anak perempuan mereka, Malia, 17, dan Sasha, 14, kemudian menaiki helikopter presiden, Marine One, dan tiba kira-kira 20 minit kemudian.

Obama menghabiskan hari terakhirnya bermain golf di permukiman tepi pantai Atlantik di Massachusetts, aktiviti kesukaannya ketika bercuti, dengan bermain hampir setiap hari ketika menginap di situ.

Presiden AS itu yang penggal perkhidmatannya akan tamat lebih 500 hari lagi, bersedia bagi tugasan yang lebih besar pada September.

Malia Obama (tiga dari kiri) dan Sasha Obama (tiga dari kanan) berjalan keluar dari Marine One sementara Presiden Barack Obama (kiri) dan Wanita Pertama AS, Michelle Obama (tengah) berjalan untuk beramah mesra dengan tetamu sebelum menaiki Air Force One di Stesen Udara Pengawal Pantai Cape Cod selepas percutian dua minggu di pulau Martha’s Vineyard, pada 23 Ogos 2015 di Sandwich, Massachusetts. – AFP

Presiden China Xi Jinping dan Paus Francis akan mengadakan lawatan, dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan diadakan pada akhir bulan di New York.

Beliau juga berdepan dengan konflik di antara Republikan dan Kongres berhubung perjanjian nuklear yang AS dan kuasa-kuasa dunia meterai dengan Iran pada Julai lepas.

Kongres dijadualkan mengundi beberapa minggu mendatang mengenai perjanjian itu yang bertujuan mencegah Tehran daripada memperoleh senjata nuklear dengan imbalan bagi penarikan balik sekatan.

Anggota perundangan Republikan bersatu hati menentang perjanjian Iran, dan Kongres dijangka meluluskan resolusi tidak bersetuju pada September.