Tugas bomba b...

Tugas bomba bukan setakat memadam kebakaran

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Aziz Idris

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pegawai dan anggota bomba memerlukan kedayatahanan mental dan fizikal serta kecekapan untuk berfikir memandangkan mereka bukan sahaja ditugaskan bagi memadam kebakaran, menyelamat nyawa dan harta benda akan tetapi mereka juga merupakan agensi yang dipertanggungjawabkan bagi memastikan keselamatan bangunan-bangunan sentiasa terjamin.

Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Haji Azhar bin Haji Ahmad menekankan perkara ini ketika berucap di Upacara Tamat Latihan, Kursus Kebombaan dan Kursus Pegawai Rendah bagi Anggota-anggota Bomba Bahagian Perkhidmatan Bomba Lapangan Terbang, Jabatan Penerbangan Awam yang berlangsung di Balai Bomba Utama Bahagian Perkhidmatan Bomba Lapangan Terbang, Jabatan Penerbangan Awam, hari ini.

Dalam ucapannya itu, beliau juga menekankan pentingnya latihan-latihan kecemasan sentiasa dilaksanakan bagi menguji dan mempraktikkan standard prosedur operasi bagi memastikan prosedur berkenaan bersesuaian dengan insiden-insiden kecemasan.

“Selain daripada faktor tenaga manusia (manpower) dan faktor mesin iaitu penggunaan perkakas-perkakas yang bersesuaian, kaedah (method) yang bersesuaian bagi menangani insiden-insiden kecemasan adalah sama pentingnya.

“Apa yang saya ingin tekankan ialah untuk pihak bomba lapangan terbang untuk sentiasa membuat penyelidikan dan mempelajari kaedah atau metode yang bersesuaian dengan mengambil kira kejadian-kejadian yang berlaku di luar negara dan senario-senario kecemasan pesawat dan dengan adanya pengetahuan itu nanti ia dapat membantu menangani dan mengurus sesuatu kecemasan dengan cekap dan teratur,” tambah beliau.

Haji Azhar bergambar ramai bersama anggota-anggota bomba yang telah menamatkan Kursus Kebombaan dan Kursus Pegawai Rendah bagi Anggota-anggota Bomba Bahagian Perkhidmatan Bomba Lapangan Terbang, Jabatan Penerbangan Awam.
Haji Azhar bergambar ramai bersama anggota-anggota bomba yang telah menamatkan Kursus Kebombaan dan Kursus Pegawai Rendah bagi Anggota-anggota Bomba Bahagian Perkhidmatan Bomba Lapangan Terbang, Jabatan Penerbangan Awam.

Sepuluh orang anggota bomba telah menamatkan latihan selama 20 minggu berkenaan dengan Awang Abdul Hamdi bin Haji Raya dipilih sebagai pelatih terbaik keseluruhan, Awang Mohd Nazri bin Haji Tarsad terbaik dalam latihan praktikal dan Awang Mohd Shahrin bin Lamat terbaik dalam latihan teori.

Sementara itu, dua orang timbalan pegawai balai dan enam orang ahli bomba kanan yang telah mengikuti kursus pegawai rendah selama empat minggu juga menerima sijil masing-masing di majlis itu.

Kursus itu merupakan kursus ulang kaji bagi para pegawai dan persediaan untuk ahli-ahli bomba kanan bagi kenaikan pangkat seterusnya.

Perkhidmatan Bomba Lapangan Terbang merupakan salah satu bahagian di Jabatan Penerbangan Awam yang dipertanggungjawabkan untuk memberikan perkhidmatan perlindungan kebakaran dan kecemasan kapal terbang bagi semua operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Keperluan ini mengikuti piawaian antarabangsa di bawah Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Turut hadir di majlis itu ialah Pemangku Pengarah Penerbangan Awam, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, pengarah-pengarah di Kementerian Perhubungan dan jabatan-jabatan di bawahnya, pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Penerbangan Awam serta keluarga anggota bomba pelatih.

ARTIKEL YANG SAMA