Tugasan Klinsmann masih selamat

Tugasan Klinsmann masih selamat

PHILADELPHIA, 27 Julai (AFP) – Tugas Jurgen Klinsmann sebagai jurulatih kebangsaan AS masih selamat buat masa ini walaupun menduduki tempat keempat dalam Piala Emas CONCACAF, kata presiden Persekutuan Bola Sepak AS, Sunil Gulati.

Tewas separuh akhir 2-1 kepada Jamaica dan kekalahan penalti 3-2 kepada Panama Sabtu lalu dalam penentuan tempat ketiga memberikan AS tempat keempat. Selepas tewas suku akhir 2000 melalui penalti kepada Colombia, pencapaian kali ini merupakan keputusan paling buruk AS dalam kejohanan serantau dua tahun sekali itu.

Tetapi Gulati berkata, tidak terlintas dalam fikiran untuk menyingkirkan Klinsmann. “Kami tidak membuat pertimbangan berdasarkan satu perlawanan,” kata Gulati. “Memanglah ia mengecewakan tetapi saya tidak melihatnya sebagai langkah ke belakang. Tiada panik. Ia adalah satu kekecewaan yang besar tetapi kami terus melangkah.”

Empat tahun yang lalu, naib juara dalam Piala Emas telah meragut kerjaya Bob Bradley dan membawa kepada pengambilan Klinsmann. Pencapaian Klinsmann dipuji termasuk kejayaan melangkah ke fasa 16 terakhir Piala Dunia di Brazil tahun lepas dan kemenangan ke atas Belanda dan Jerman bulan lalu.

“Kemajuan tidak linear,” kata Gulati. “Ada beberapa halangan sepanjang jalan. Ini salah satu daripada halangannya. Kami membuat kemajuan dalam bidang-bidang tertentu, Cuma kurang menjadi pada aspek lain.”

Klinsmann mempunyai pasukan khas untuk aksi persahabatan menentang Brazil dan Peru September ini dan play-off Oktober sama ada menentang Mexico atau Jamaica untuk merebut slot Piala Konfederasi 2017 sebelum Piala Dunia 2018.

“Kami menunggu September untuk memperkasakan skuad bagi aksi penentuan pada Oktober,” kata Klinsmann. “Matlamatnya ialah untuk pergi lebih jauh dalam Piala Dunia akan datang berbanding pencapai kami di Brazil.

“Ini adalah proses pembinaan yang akan memberikan kami beberapa halangan, beberapa keadaan di mana anda mungkin membuat satu langkah ke belakang untuk mengharapkan dua langkah ke hadapan. Pasukan ini akan berkembang dan akan menjadi lebih baik.”