Tujuh ditahan bergaduh di pusat hiburan

Tujuh ditahan bergaduh di pusat hiburan

SIBU, 28 Dis – Polis Sibu menahan tujuh lelaki berhubung insiden pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Jalan Kampung Datu dan sebuah rumah di Jalan Pipit di sini awal Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Mohd Kamal Kordi berkata kesemua suspek yang berusia 19 hingga 29 tahun itu ditahan dalam tempoh 24 jam selepas laporan polis dibuat.

“Enam daripada mereka telah direman tiga hari bermula semalam manakala seorang lagi direman mulai hari ini,” katanya di sini Isnin sambil menambah dua suspek pernah ditahan kerana terbabit dalam jenayah dadah.

Mohd Kamal berkata pergaduhan itu melibatkan pengendali pusat hiburan berkenaan dengan pelanggan mereka.

“Mereka sebenarnya saling mengenali dan mungkin pada waktu itu telah dipengaruhi alkohol sehingga menyebabkan pergaduhan tersebut agak serius,” katanya.

Akhbar tempatan melaporkan kejadian dipercayai berpunca daripada bil minuman berjumlah RM230 yang belum dibayar pelanggan yang datang bersama isteri serta rakan-rakan mereka.

Pelanggan itu dan seorang rakannya dikatakan telah dipukul pengendali pusat hiburan itu.

Ketika pelanggan itu membuat laporan di Balai Polis Sentral, kesemua suspek menyerang rumah mangsa di Jalan Pipit dan memusnahkan pelbagai barangan milik mangsa. – Bernama