Tujuh keluarga hilang tempat tinggal

MIRI, 10 Sept – Seramai 41 orang daripada tujuh keluarga tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran yang meranapkan kediaman mereka di Kampung Sebuan Besar, Bintulu awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Di-Hatta Gobel berkata, kedudukan rumah yang rapat menyebabkan api cepat merebak ke rumah lain selain turut memusnahkan sebuah pondok menyimpan peralatan nelayan.

“Tiada mangsa cedera dan maut dalam kejadian kebakaran itu,” katanya ketika dihubungi.

Di-Hatta berkata, bomba Bintulu menerima panggilan pada 2.04 pagi dan tiba di lokasi kejadian pada 2.28 pagi dengan proses mengawal kebakaran mengambil masa empat jam.

Menurutnya, operasi tamat pada 6.04 pagi dengan punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi disiasat. – Bernama