Tujuh lagi bom peninggalan era perang Vietnam ditemui di Kemboja

PHNOM PENH, 11 Okt – Tujuh lagi bom peninggalan zaman Perang Vietnam ditemui di wilayah Svay Rieng, Kemboja menjadikan jumlah keseluruhan sembilan butir bom dijumpai setakat ini, kata Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, lapor agensi berita Xinhua.

“Bom itu ditemui di beberapa lokasi di wilayah Svay Rieng. Bom berkenaan digugurkan tentera Amerika Syarikat (AS) di Kemboja lebih 40 tahun lalu,” katanya semasa berucap sempena lawatan ke kilang pakaian di Phnom Penh.

Beliau berkata, pakar senjata anti-kimia Kemboja dan AS bekerjasama untuk mengeluarkan bom berkenaan. Bom kimia yang mengandungi 2-chlorobenzalmalononitrile (CS) , sejenis gas pemedih mata digugurkan pada era Perang Vietnam pada 1970.

Pihak berkuasa menemui bom berkenaan di bangunan sekolah rendah dan di sebuah pagoda di kampung Koki pada Januari lepas.

Operasi untuk mengeluarkan bom yang setiap satu seberat 200 kilogram itu, bermula sejak minggu lepas dan ratusan penduduk di kawasan berkenaan dipindahkan ke kawasan selamat. Sebelum ini, Timbalan Setiausaha Agung Kementerian Pertahanan Kemboja Leftenan Jeneral Ke Da memberitahu Xinhua, bom kimia yang dijumpai itu, berbahaya kepada manusia, jika berlaku kebocoran.

Bom berkenaan, kemungkinan baki daripada sejumlah 2.7 juta bom yang digugurkan tentera AS di 113,716 lokasi di Kemboja antara tahun 1965 dan 1973. – Bernama