Tujuh lagi korban krisis pelarian di perairan Greece

Tujuh lagi korban krisis pelarian di perairan Greece

ATHENS, 29 Okt (AFP) – Kira-kira tujuh orang kanak-kanak terbunuh apabila bot-bot yang membawa pendatang karam di perairan Greece hari ini, ketika para pekerja penyelamat berusaha menyelamatkan lebih ramai remaja di tepi pantai dalam keadaan terdesak terbaru dalam krisis orang pelarian Eropah.

Tiga dewasa juga terbunuh apabila empat buah bot karam dalam pelayaran penyeberangan lautan berbahaya dari Turki dan lebih 200 orang, ramai yang mengalami hipotermia, diselamatkan dari sebuah bot yang karam di perairan pantai utara pulau Greece, Lesbos.

Gambar-gambar Lesbos, tempat kemasukan utama bagi pengaliran ramai pendatang yang cuba pergi ke Eropah, menunjukkan para doktor cuba merawat kanak-kanak yang tidak sedarkan diri di pinggir laut pulau itu.

Kemudian pada sebelah petang, seorang wanita lemas dan mayat dua orang kanak-kanak ditemui terapung-apung di perairan pulau Greece, Agathonisi, beberapa kilometer dari pantai Turki.

Seorang anak kecil berusia setahun masih dalam keadaan kritikal malam semalam, menurut polis pelabuhan. Kapal-kapal peronda, bot menangkap ikan dan malah penduduk tempatan dengan jet ski menyertai usaha mencari hingga waktu malam bagi lebih banyak mangsa yang terselamat di perairan, dengan mengharungi angin kencang.

Polis pelabuhan berkata tidak jelas berapa ramai orang yang mungkin berada di dalam air, dengan mangsa-mangsa yang terselamat memberikan gambaran mengelirukan tentang bilangan orang yang berada di dalam bot itu yang karam di perairan Lesbos.

Kemalangan baru itu menjadikan 39 orang penghijrah yang ditemui mati di perairan Greece bulan ini, menurut kiraan AFP berdasarkan data dari polis pelabuhan Greece.

Sejak awal tahun ini, 560,000 penghijrah dan orang pelarian tiba di Greece melalui laut, dari jumlah mereka lebih 700,000 orang yang telah sampai ke Eropah melalui Mediterranean, menurut Pejabat Antarabangsa Bagi Penghijrahan (IOM).

ARTIKEL YANG SAMA