Tujuh maut dek amukan ‘Kujira’

Tujuh maut dek amukan ‘Kujira’

HANOI, 25 Jun (dpa) – Tujuh orang terbunuh dan empat hilang selepas Taifan Kujira bertemu daratan di utara Vietnam, menurut pihak berkuasa hari ini.

Mereka yang terbunuh adalah termasuk lelaki warga emas berusia 86 tahun yang rumahnya dihanyutkan di wilayah Son La semalam, berikutan banjir kilat akibat hujan lebat, menurut Jawatankuasa Pusat bagi Banjir dan Kawalan Ribut.

Taufan Kujira bergerak ke arah pantai utara Vietnam selepas berubah arah di Teluk Tonkin pada Selasa lepas dan membawa angin kuat dan hujan, menurut Pusat Ramalan Cuaca Kebangsaan.

Ribut tersebut kemudian lenyap di utara Vietnam semalam.

Kujira, ribut tropika pertama melanda Vietnam tahun ini, menyebabkan angin berkelajuan di antara 103 dan 133 kilometer sejam.

Banjir kilat merosakkan prasarana wilayah itu, memusnahkan lebih 20 buah rumah serta menenggelamkan hampir 70 hektar sawah padi dan membunuh berpuluh-puluh ekor lembu.

Kujira membawa angin kencang dan hujan lebat sehingga 220 milimeter di sebahagian utara Vietnam sejak tiga hari lepas, menenggelamkan sekurang-kurangnya tiga bot nelayan di pelabuhan.

Kira-kira 30 penerbangan dari bandar Ho Chi Minh dan Da Nang yang dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Hai Phong dibatalkan atau dilencongkan semalam, kata Vietnam Airlines.