Tujuh maut jet vintaj hentam kereta

Tujuh maut jet vintaj hentam kereta

LONDON, 23 Ogos (Reuters) – Sebuah pesawat jet menghentam beberapa buah kereta di sebuah jalan raya yang sibuk berhampiran lokasi pertunjukan udara di selatan England semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang, menurut polis.

Jet pejuang vintaj Hawker Hunter terhempas ke atas jalan A27, berhampiran dengan lapangan terbang Shoreham di mana pertunjukan udara berlangsung, berhampiran pantai selatan bandar Brighton.

Semua mereka yang maut berada di jalan raya ketika nahas berlaku, kata polis, sambil menambah bahawa kemungkinan lebih banyak mayat akan ditemui semalaman dan pada hari ini. Juruterbang kini berada dalam keadaan serius di hospital.

Perkhidmatan ambulans berkata 14 orang diberikan rawatan di tempat kejadian, dengan empat orang kemudian dikejarkan ke hospital.

Rakaman video yang diterbitkan dalam talian menunjukkan pesawat dalam proses aksi gelungan sebelum ia menjunam ke daratan, menyebabkan letupan yang turut menyebabkan buah kereta dijilat api.

Para pegawai dan anggota perkhidmatan kecemasan dan penyiasatan nahas giat menjalankan siasatan di kawasan jet pejuang Hawker Hunter terhempas di atas jalan A27 di Shoreham berhampiran Brighton, Britain pada 23 Ogos 2015. – Reuters
Para pegawai dan anggota perkhidmatan kecemasan dan penyiasatan nahas giat menjalankan siasatan di kawasan jet pejuang Hawker Hunter terhempas di atas jalan A27 di Shoreham berhampiran Brighton, Britain pada 23 Ogos 2015. – Reuters

“Beliau membuat lintas berbentuk gelung dan ketika mengakhiri aksi itu dia kelihatan terbang terlalu rendah dan saya berkata di dalam hati, anda terlalu rendah, anda terlalu rendah, tingkatkan ketinggian,” BBC memetik seorang lagi saksi, Stephen Jones, sebagai berkata.

“Dan beliau terbang rendah atau terlalu dekat dengan A27, yang melepasi lapangan terbang.”

Laporan media berkata juruterbang pesawat berkenaan ditarik keluar daripada bangkai pesawat yang terbakar.

Nahas tersebut berlaku kira-kira pukul 1:20 petang (1220 GMT). Pertunjukan Udara Shoreham membatalkan acara mereka, yang dijadualkan berakhir pada hari ini.

Pesawat Hawker Hunter adalah jet satu tempat duduk yang dibina Britain dalam tahun 1950an.

Tujuh orang maut apabila dua pesawat dalam sesi latihan untuk pertunjukan udara berlanggar di Slovakia pada Khamis lepas. Ahli paying terjun tentera Amerika Syarikat meninggal dunia selepas beliau terbabit dalam perlanggaran di ruang udara dengan seorang ahli payung terjun lain pada pertunjukan udara Sabtu lepas.