Tujuh pelarian maut, bot penuh sesak karam di Libya

Tujuh pelarian maut, bot penuh sesak karam di Libya

ROM, 25 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh pelarian mati lemas di luar pesisir pantai Libya selepas bot penuh sesak yang dinaiki mereka terbalik, kata tentera laut Itali hari ini.

Tentera laut berkata, seramai 500 orang berjaya diselamatkan dan tujuh mayat dijumpai, namun operasi menyelamat bersambung dengan angka kematian mungkin meningkat.

Menurut kenyataan tentera, bot peronda Bettica milik tentera laut menjumpai sebuah bot dalam keadaan terumbang ambing di luar pantai Libya bersama pendatang di dalamnya.

“Tidak berapa lama selepas bot itu terbalik akibat penumpang yang sesak, bot peronda Bettica yang tiba berhampiran melontarkan rakit dan jaket keselamatan kepada pelarian dalam air, sementara kapal tentera laut lain di kawasan itu menghantar helikopter dan bot penyelamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut data yang dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) awal minggu ini, kejadian terbaru itu menjadikan mangsa yang diselamatkan dan dibawa ke Itali bermula tahun ini seramai 40,000 orang. – AFP