Tujuh perkampungan setinggan disusun semula

KUDAT, 9 Jan – Tujuh perkampungan setinggan di kawasan pesisir pantai di Kudat didiami kira-kira 2,000 keluarga akan disusun semula bagi menjadikan perkampungan berkenaan lebih tersusun, indah, selesa dan selamat.

Pegawai Daerah Kudat Sapdin Ibrahim berkata melalui penyusuan semula secara berperingkat itu,  perkampungan yang sudah didiami sejak 60 tahun lepas itu juga akan mengubah taraf perkampungan  berkenaan dari setinggan kepada perkampungan yang sah.

“Tujuh perkampungan ini didiami kira-kira 2,000 keluarga. Dahulu konsep (cadangan) kerajaan ialah memindahkan semua setinggan ke Kampung Bumpa di kawasan seluas 121 hektar. Cuma kita juga mendengar rintihan rakyat yang mahu supaya mereka dikekalkan di kawasan itu. Kita setuju,” katanya kepada Bernama.

Menurut Sapdin, pihak perancang bandar sudah menyiapkan pelan penyusunan semula perkampungan melibatkan kawasan seluas 175 hektar yang lengkap dengan pembahagian lot tanah untuk rumah penduduk serta kawasan komersial termasuk lot-lot kedai. Katanya turut terangkum dalam pelan penyusunan semula perkampungan itu ialah pembinaan jalan raya pesisir melalui perkampungan berkenaan dan berharap permohonan pembinaan jalan raya yang sudah diajukan ke Jabatan Kerja Raya dapat dibina secepat mungkin oleh kerajaan negeri.

“Kalau ini berjaya, maknanya setinggan akan terhapus. Masalah penduduk selesai kerana mereka akan dapat lot tanah yang sah. Kita akan keluarkan geran dan mereka boleh mendiami rumah sampai bila-bila serta boleh diwarisi kepada anak cucu,” katanya.

Perkampungan setinggan Kampung Landong Ayang di kawasan pesisir pantai di Kudat yang didiami kira-kira 2,000 keluarga telah disusun semula oleh kerajaan dengan pemberian lot tanah kepada keluarga bumiputera menjadikan perkampungan berkenaan lebih tersusun, indah, selesa dan selamat untuk penduduk. – Bernama

Menurut Sapdin dengan penyusunan semula perkampungan itu juga, masalah kebersihan di kawasan itu akan dapat diatasi malah akan mengubah landskap Kudat itu sendiri.

Katanya jika keadaan perkampungan itu yang kini dianggap ‘menyakitkan mata memandang’ namun dalam tempoh 10 tahun akan datang wajahnya akan berubah seperti perkampungan air di Kota Kinabalu yang tersusun serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas.

“Inilah projek mega yang mempunyai impak besar kepada penduduk Kudat yang selama ini tidak mempunyai tanah, tidak mempunyai tapak rumah dan digelar sebagai penduduk setinggan, kita akan ubah kampung ini kepada perkampungan yang sah,” katanya.

Sementara itu, Sapdin berkata pihaknya kini sedang menyenaraikan penduduk warganegara di tujuh perkampungan berkenaan untuk diagihkan lot seluas 40×50 kaki setiap lot tanah kerana hanya penduduk tempatan sahaja layak mendapat lot-lot tersebut.

“Cuma pada masa ini, kita segerakan (pembahagian lot) kepada penduduk Kampung Landung Ayang yang kebetulan menjadi mangsa kebakaran (pada Mei 2016). Jadi penyusunan semula perkampungan Kampung Landung Ayang ini akan menjadi model kepada perkampungan lain kelak,” katanya.

Pada Mei 2016, kira-kira 250 rumah di Kampung Landung Ayang musnah dalam kebakaran menyebabkan kira-kira 1,000 penduduk hilang tempat tinggal.

“Kita bagi lot secepat mungkin berdekatan dengan rumah mereka sekarang. Bagaimanapun, jika lot yang mereka dapat jauh dari rumah sekarang, maka terpaksalah mereka membuka rumah (membongkar) dan memindahkannya ke lot yang disediakan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama bersama Pegawai Daerah Kudat di Kampung Landung Ayang mendapati pembinaan semula rumah di perkampungan atas air yang terbakar dua tahun lepas itu dilakukan penduduk kampung secara tersusun mengikut lot-lot yang diperuntukkan kepada mereka. Laluan pejalan kaki memasuki perkampungan berkenaan juga sudah ditukar kepada konkrit berbanding dahulu yang diperbuat daripada kayu serta kerap diganti setiap kali ia reput.

Seorang penduduk Kampung Landung Ayang, Emrah Abdul Karim, 55, berkata langkah penyusunan semula perkampungan setinggan berkenaan sangat baik kerana ia membolehkan penduduk kampung berkenaan hidup lebih selesa.

Katanya dahulu kedudukan rumah-rumah di perkampungan itu tidak tersusun dengan baik namun kini sudah amat berbeza. – Bernama