Tujuh sekeluarga terima hidayah

Tujuh sekeluarga terima hidayah

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 28 Ogos – Jumlah saudara baru yang memeluk Islam telah meningkat lebih 500 orang tahun ini dan lebih 700 orang sejak lima tahun kebelakangan, yang mana ini menunjukkan penerimaan yang tinggi dan baik khususnya bagi Daerah Belait.

Statistik ini dikongsikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman semasa ditemui selepas menghadiri majlis pengislaman sebuah keluarga seramai tujuh orang di RPN Kampung Pandan, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai jalan efektif bagi menyalurkan pengetahuan agama Islam kepada mualaf yang baru sahaja memeluk Islam terutamanya dari kawasan pedalaman, Yang Berhormat Pengiran Dato berkata cara terbaik adalah dengan terus memasukkan mereka dalam program pengenalan Islam selama dua minggu dan program lanjutan selama 10 hari bagi memantapkan lagi penghayatan apabila ditempatkan di Pusat Asrama, Pusat Dakwah Islamiah.

“Dengan cara itu diharap mereka akan lebih dapat menghayati dan mendalami pengajaran Islam dengan sebaik-baiknya,” jelas beliau lagi.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Pengiran Dato juga menyatakan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah memperkenankan lima orang saudara baru untuk menunaikan fardu haji tahun ini dan menyatakan harapan agar lebih ramai lagi saudara baru akan diberi kesempatan menunaikan ibadah haji di tahun-tahun akan datang.

Keluarga Awang Muhammad Rejmi bergambar ramai bersama tetamu kehormat di acara majlis pengislaman beliau bersama keluarga.
Keluarga Awang Muhammad Rejmi bergambar ramai bersama tetamu kehormat di acara majlis pengislaman beliau bersama keluarga.
Awang Muhammad Rejmi ketika melafazkan kalimah syahadah di majlis pengislaman beliau bersama keluarganya di Kampung Pandan, Kuala Belait, kelmarin.
Awang Muhammad Rejmi ketika melafazkan kalimah syahadah di majlis pengislaman beliau bersama keluarganya di Kampung Pandan, Kuala Belait, kelmarin.
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad ketika ditemu bual media di majlis pengislaman sebuah keluarga.
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad ketika ditemu bual media di majlis pengislaman sebuah keluarga.

Beliau turut memberitahu bahawa kementeriannya bercadang untuk menubuhkan pusat kegiatan keagamaan dan surau di Daerah Temburong di mana kuliah-kuliah keagamaan akan diadakan supaya tumpuan khusus akan dapat diberikan kepada saudara-saudara baru di sana agar dapat disalurkan pengajaran dan pengetahuan terhadap Islam dengan lebih berkesan lagi.

Majlis pengislaman keluarga Awang Rejmi bin Biju itu turut diserikan dengan penyampaian cenderahati, Dikir Marhaban dan menabur bunga rampai yang diketuai oleh tetamu kehormat serta pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama yang lain.

Awang Rejmi kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Muhammad Rejmi bin Haji Muhammad Isa dan isterinya Bibi Anak Igat memilih nama Islamnya sebagai Nur Bibi Hanisah binti Abdullah Igat.

Sementara itu, lima anak mereka yang lain masing-masing kini dikenali sebagai Nur Nadia Nazurah, Muhammad Najib Syukri, Nur Reshma Nawwarah, Muhammad Nizal dan Nur Batrisyia Basyirah binti Muhammad Rejmi.

Turut hadir di majlis itu ialah Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Othman dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad dan Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Haji Dulamin.

ARTIKEL YANG SAMA