Tujuh terbunuh di majlis kahwin akibat bom

Tujuh terbunuh di majlis kahwin akibat bom

MAIDUGURI, Nigeria, 29 Mei (AFP) – Dua biji bom meledak di sebuah majlis perkahwinan di timur laut Nigeria hari ini, membunuh tujuh dan mencederakan berpuluh yang lain, menurut sumber keselamatan dan saksi.

Para saksi mengatakan letupan itu berlaku sekitar 6 pagi (0500 GMT) di kawasan Tashan Alade negeri Borno, apabila ahli keluarga dan rakan pasangan pengantin berkumpul untuk menyaksikan majlis itu.

Tashan Alade sebelumnya sering diserang oleh Islamis Boko Haram namun ia tidak jelas jika kumpulan itu yang bertanggungjawab. “Tujuh mayat telah dibawa daripada tempat kejadian,” menurut saksi Almu Mukhtar. “Lebih 30 orang juga mengalami kecederaan dan kebakaran juga telah memusnahkan dua buah rumah berhampiran kejadian itu.”

Mato Makatara, salah seorang yang berada di kawasan itu mengatakan seorang suspek telah ditangkap dan diserahkan kepada polis untuk disoal siasat.

“Ia kelihatannya bom telah ditanam berhampiran tempat kejadian dan kemungkinan diletupkan menggunakan alat kawalan. Kami akan mengetahui perkara sebenar selepas menyiasat suspek,” tambahnya.