Tukang masak dicekup terima bungkusan 7 kilogram ganja

Tukang masak dicekup terima bungkusan 7 kilogram ganja

KOTA KINABALU, 12 Mei (Bernama) – Seorang tukang masak di sini ditahan ketika mengambil dua kotak dipercayai mengandungi 7 kilogram ganja di sebuah pejabat penghantaran kurier di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah Supt Mohamed Fadzil A. Rahman berkata lelaki tempatan berumur 28 tahun itu ditahan pukul 5 petang Selasa lepas ketika menerima kotak berkenaan yang mengandungi tujuh bungkusan besar dan satu bungkusan kecil mengandungi ganja seberat kira-kira 7 kilogram.

Menurutnya, dadah itu dianggarkan bernilai RM63,000 dan dipercayai dihantar dari Kuala Lumpur untuk pasaran tempatan.

“Ujian saringan awal air kencing ke atas suspek didapati positif. Dia juga tidak mempunyai rekod jenayah.

Supt Mohamed Fadzil A. Rahman (dua, kiri) bersama anggotanya menunjukkan dadah jenis ganja pada sidang media kelmarin. – Bernama
Supt Mohamed Fadzil A. Rahman (dua, kiri) bersama anggotanya menunjukkan dadah jenis ganja pada sidang media kelmarin. – Bernama

“Suspek direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang akhbar di sini Khamis.

Susulan penahanan lelaki itu, Mohamed Fadzil berkata, JSJN bersama Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman turut menyita tiga kenderaan bernilai RM128,500 iaitu sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax, Perodua Viva dan motosikal Kawasaki KLX150 di rumah suspek di Penampang dekat sini.

“Hasil kejayaan ini membuktikan polis khususnya JSJN Sabah dan STING Bukit Aman sentiasa komited dalam usaha membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah.