Tukang masak kena 12 bulan penjara

Tukang masak kena 12 bulan penjara

Oleh Rafidah Jumat

 

pg10_161011_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Mahkamah Majistret, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap seorang tukang masak warga Indonesia atas pertuduhan mencuri dan melakukan kerosakan harta benda.

Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Azrimah binti Haji Abdul Rahman ke atas Ali Sahara, 25, yang mengaku bersalah mencuri wang berjumlah $1,100.65 dari peti keselamatan milik The Coffee Bean and Tea Leaf (CBTL) di Supasave, Gadong dan pada masa yang sama, merosakkan peti keselamatan itu.

Dia melakukan kesalahan itu pada 6 Oktober 2016 kira-kira jam 1:30 pagi.

Majistret menyifatkan perbuatan tertuduh untuk mencuri adalah ‘jenayah terancang’ kerana tertuduh telah menutup mukanya dengan apron, dan turut membalut kasut dan tangannya untuk mengelak daripada meninggalkan kesan.

“Kamu adalah seorang yang tidak bersyukur di mana kamu sanggup melakukan curi setelah bekerja selama dua tahun di restoran itu,” tegas majistret sebaik mengetahui tertuduh baru sahaja menamatkan kontrak kerjanya.

Tertuduh sekitar jam lapan malam telah bersembunyi di tandas Restoran Millenium sehingga kesemua kakitangan pulang, dan menunggu sehingga waktu tengah malam untuk bertindak.

Dia menggunakan kapak kecil dan pemutar skru untuk membuka peti keselamatan yang diletakkan di bawah kaunter CBTL, dan mengambil wang di dalamnya.

Terdahulu, perbuatannya yang mengheret peti keselamatan menuju ke restoran itu telah dirakam oleh sistem televisyen litar tertutup.

Tertuduh kemudian bersembunyi di tandas yang sama sehingga jam tujuh pagi, dan menyelinap keluar untuk pulang ke rumah pekerja sebaik tukang cuci datang.

Tertuduh, bagaimanapun, berjaya diberkas oleh polis di mana mereka menemui semula $516 daripada tertuduh, dan kerosakan pada peti keselamatan CBTL dianggarkan berjumlah $330. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Vuina Song.

ARTIKEL YANG SAMA