Tukar makluma...

Tukar maklumat, amalan semasa perniagaan pengangkutan barang

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Bagi mengukuhkan kerjasama perniagaan antara Brunei dan Thailand di samping sebagai platform pertukaran amalan dan pengajaran semasa mengenai pengangkutan barang, mesyuarat ‘Business to Business’ dan Dialog mengenai Pengalaman Sektor Swasta dalam Operasi Pengangkutan Barang di Jalan Raya telah diadakan di Goldstone Ballroom, Hotel Centrepoint, Gadong, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Presiden Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan Brunei Darussalam (ATAB), Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Arshad @ Haji Sabli.

Turut hadir ialah Presiden Brunei Freight Forwarders Association (BRUFA), Thomas Koh, manakala itu, rombongan dari Thailand pula diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat Thailand, Kamol Buranapong.

Dalam ucapan alu-aluannya, Kamol Buranapong menjelaskan bahawa objektif mesyuarat perniagaan berkenaan adalah untuk mengukuhkan kerjasama perniagaan antara Brunei dan Thailand, bertukar maklumat, amalan semasa dan pengajaran semasa yang dipelajari daripada perniagaan pengangkutan barang.

“Saya berharap bahawa majlis hari ini akan meningkatkan pemahaman amalan perniagaan yang dilaksanakan oleh pengendali pengangkutan Thailand dan Brunei. Mesyuarat perniagaan ini juga diharap akan menyediakan platform bagi kerjasama di masa depan antara kedua-dua buah negara,” beliau melahirkan harapan.

Kamol Buranapong ketika menyampaikan cenderahati kepada Thomas Koh.
Kamol Buranapong ketika menyampaikan cenderahati kepada Thomas Koh.
Gambar ramai mereka yang terlibat dalam mesyuarat ‘Business to Business’ dan Dialog mengenai Pengalaman Sektor Swasta dalam Operasi Pengangkutan Barang di Jalan Raya di Goldstone Ballroom, Hotel Centrepoint, Gadong.
Gambar ramai mereka yang terlibat dalam mesyuarat ‘Business to Business’ dan Dialog mengenai Pengalaman Sektor Swasta dalam Operasi Pengangkutan Barang di Jalan Raya di Goldstone Ballroom, Hotel Centrepoint, Gadong.

Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) Thailand bertanggungjawab dalam mengendali dan mengawal selia pengangkutan darat domestik dan antarabangsa bagi memastikan kecekapan dan keselamatan operasi pengangkutan darat. JPD Thailand juga bekerjasama dengan organisasi awam dan swasta yang berkaitan untuk meningkatkan kapasiti pengangkutan darat dalam komuniti ASEAN.

Mesyuarat berkenaan telah mendengarkan pembentangan daripada Setiausaha Agung ASEAN Trucking Federation (ATF), Sunyawit Sethapokin dan Pengarah Transportation Insititute, Chulalongkorn University, Dr. Chackrit Duangphastra. Antara yang dibentangkan adalah mengenai Persatuan Pengangkutan Jalan Raya dan Logistik di Thailand, pengajaran yang dipelajari daripada komuniti ekonomi ASEAN dan kesannya ke atas logistik pengangkutan barang serta sistem logistik, kemudahan pengangkutan barang, terminal lori dan kawasan rehat trak.

Seterusnya, perwakilan dari Brunei juga menyampaikan pembentangan yang menyentuh tentang cabaran dalam pengurusan pengangkutan dan pengedaran di Brunei.