Tukar pengakuan kepada tidak bersalah

Tukar pengakuan kepada tidak bersalah

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160503_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mei – Seorang wanita penduduk tetap yang didakwa menjalankan perkhidmatan pergigian tanpa lesen, hari ini menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini.

Pengakuan itu dibuat melalui Peguam Belanya, Ahmad Basuni Abas yang memohon mahkamah untuk menarik balik pengakuan ‘bersalah’ Hayimmah Bahri, 29, kepada ‘tidak bersalah’ dengan mengatakan anak guamnya keliru dengan pertuduhan yang dibacakan.

Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Haji Abdul Latiff bagaimanapun membantah permohonan itu atas alasan pertuduhan dibacakan dengan jelas dalam Bahasa Melayu, dan tertuduh tidak pernah menunjukkan perbezaan pendapat dalam fakta kes yang dibacakan malah memahami setiap pertuduhan yang dibacakan.

Tertuduh pada 23 April 2016, telah mengaku bersalah atas pertuduhan menjalankan perkhidmatan pergigian tanpa lesen di kediamannya di Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Tungku, pada 2012 hingga April 2014.

Dia didakwa menawarkan perkhidmatan pendakap gigi dan nasihat kepada pelanggannya yang diperolehnya dari laman media sosial, Facebook.

Majistret Azrimah binti Haji Abd Rahman menetapkan 7 Mei untuk memberikan keputusan mahkamah berhubung dengan pengakuan itu.

ARTIKEL YANG SAMA