Tulang manusia berusia 900 tahun ditemui di bawah pokok besar

Tulang manusia berusia 900 tahun ditemui di bawah pokok besar

SLIGO, Republik Ireland, 16 Sept (Agensi) – Satu rangka manusia yang terdiri daripada tulang belakang, kaki dan tengkorak dipercayai berusia 900 tahun ditemui oleh sekumpulan ahli arkeologi, baru-baru ini.

Tulang-tulang berkenaan ditemui selepas sebatang pokok birch berusia 215 tahun tumbang ekoran angin kuat yang melanda kawasan berkenaan.

Ahli arkeologi Perkhidmatan Monumen Negara dan Perkhidmatan Arkeologi Sligo-Leitrim (SLAS) berkata, rangka manusia itu dipercayai milik seorang pemuda pada zaman pertengahan yang mati akibat dibunuh dengan kejam antara tahun 1,000 dan 1,200 Masihi.

Kandungan radiokarbon yang terdapat di dalam tulang itu menunjukkan dia berusia antara 17 dan 20 tahun ketika dibunuh pada abad ke-11 atau 12.

“Lelaki yang setinggi 1.80 meter itu dipercayai bekerja sebagai buruh,’’ kata ahli arkeologi, Dr. Marion Dowd yang menyifatkan penemuan itu sebagai sesuatu yang luar biasa.

“Anggota badan rangka itu ditemui di sekitar akar pokok berkenaan, manakala bahagian bawah kaki pula ditemui dalam keadaan baik yang tertanam di dalam tanah,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA