Tulisan Jawi perlu diperkasakan

Tulisan Jawi perlu diperkasakan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jun – Sebagai kesinambungan daripada bengkel pertama yang diadakan bulan lalu, Pusat Ilmu Teras Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah mengendalikan Bengkel Menghalusi Tulisan Jawi kali kedua yang menyasarkan kakitangan akademik dan bukan akademik KUPU SB.

Bengkel berkenaan telah dikendalikan oleh Pemangku Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar selaku fasilitator.

Penganjuran bengkel berkenaan diharap dapat memberi pendedahan mengenai kaedah penulisan jawi secara sistematik seterusnya memantapkan lagi tulisan Jawi dalam kalangan warga KUPU SB mengikut kaedah dan teknik yang betul.

Ia antara lain bertujuan mempertingkatkan pengetahuan dan menghalusi kemahiran menulis Jawi dalam kalangan warga KUPU SB di samping sebagai aktiviti susulan bengkel kaedah ejaan Jawi yang telah diadakan pada April 2016 lalu.

Dr. Haji Adanan selaku fasilitator di bengkel tersebut.
Dr. Haji Adanan selaku fasilitator di bengkel tersebut.
Antara warga KUPU SB yang mengikuti bengkel tersebut.
Antara warga KUPU SB yang mengikuti bengkel tersebut.

Selain itu, ia juga merupakan langkah untuk menghalusi tulisan Jawi yang mana tulisan Jawi dapat dipertahankan dan mustahak diperkasakan kerana ia merupakan identiti bangsa Brunei seperti mana yang ditegaskan dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena konvokesyen ke-3 KUPU SB pada tahun 2013.

Antara objektif bengkel adalah untuk menghalusi kemahiran warga KUPU SB dalam penulisan Jawi mengikut kaedah yang betul selain mendedahkan pengetahuan kepada warga KUPU SB mengenai kaedah tulisan Jawi mengikut jenis tulisan khat yang tertentu.

ARTIKEL YANG SAMA