Tumbuk isteri, dipenjara 9 bulan

Tumbuk isteri, dipenjara 9 bulan

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jun – Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menjatuhkan hukuman itu ke atas Azamani bin Haji Mohd Yusof, 30, yang menghadapi empat pertuduhan.

Tertuduh didakwa menumbuk kepala, menolak tubuh dan memukul dada mangsa menggunakan tangannya pada 10 Julai 2012 sekitar pukul 7:30 malam di sebuah rumah di Kampung Batang Perhentian, Limau Manis.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh menghadapi pertuduhan menarik rambut dan menolak tubuh mangsa pada 11 Julai 2012 kira-kira jam 3:40 petang di alamat yang sama.

Tertuduh turut didakwa menumbuk perut, menarik rambut dan meludah muka mangsa pada 8 Disember 2012 antara pukul 11 malam dan tengah malam selain turut menghadapi pertuduhan menumbuk dada dan dahi mangsa pada 10 September 2013 kira-kira jam 9 pagi, yang mana kedua-dua kejadian berlaku di alamat yang sama.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah binti Haji Abdul Rahman.

ARTIKEL YANG SAMA