Tumbuk jururawat akibat ‘kerasukan’

Tumbuk jururawat akibat ‘kerasukan’

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 April – Gara-gara menumbuk seorang jururawat lelaki, seorang nelayan dijatuhi denda $2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Salman Arshad, 39, yang merupakan seorang penduduk tetap mengaku bersalah atas pertuduhan menumbuk bahagian kiri muka Mohammad Yusli bin Abdul Rahman berusia 32 tahun pada 5 April 2016 kira-kira jam 9:15 pagi di Unit Kesihatan Mental RIPAS.

Mangsa mengalami kecederaan tisu pada pipi kirinya.

“Kenapa kamu menumbuk mangsa,” tanya Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Haji Abd Rahman.

Tertuduh memberi alasan ‘kerasukan’ namun menyedari apa yang dilakukannya.

pg06_160413_mahkamah logo

Majistret Pengiran Shahyzul turut memerintahkan tertuduh untuk menjalani hukuman penjara dua bulan yang berkuat kuasa hari ini jika gagal membayar denda itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Vuina Song memberitahu Majistret bahawa laporan perubatan yang diterima daripada pegawai perubatan psikiatri mengesahkan bahawa tertuduh tidak mempunyai simptom psikotik dan layak untuk dibicarakan.

Menurut fakta kes, tertuduh secara sukarela dimasukkan ke Unit Kesihatan Mental RIPAS pada 3 April dan pada 5 April, tertuduh berjalan-jalan di sekitar unit itu dan terlihat kaunter meja jururawat bersama dua orang jururawatnya.

Dia terus membuka laci tanpa kebenaran jururawat tersebut untuk mencari rokok, namun meninggalkannya sebaik tidak menemukan apa yang dicari.

Kedua-dua jururawat yang melihat tertuduh masih mundar-mandir itu terus memaklumkannya kepada Mohammad Yusli yang kemudian cuba menghubungi doktor.

Tertuduh mengarahkan mangsa untuk meletakkan telefon.

Mangsa cuba menenangkan tertuduh, dan ketika hendak meletakkan semula telefon itu, tertuduh terus menumbuk mangsa di bahagian kiri mukanya.

Laporan polis dibuat di mana tertuduh diberkas dan dibawa ke Balai Polis Pusat untuk siasatan.

Dalam rekod, tertuduh mempunyai kesalahan lalu membabitkan kes curi dan dadah.

ARTIKEL YANG SAMA