Tumpahan merkuri di klinik kesihatan

Tumpahan merkuri di klinik kesihatan

MIRI, 4 Ogos – Jabatan Bomba dan Penyelamat Lawas telah memberikan khidmat khas operasi tumpahan cecair merkuri atau raksa di Klinik Kesihatan Kuala Lawas, Limbang pada pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lawas, Zaki Hussin berkata, tumpahan merkuri berlaku apabila merkuri yang digunakan untuk mengukur tekanan darah tumpah di meja dan lantai bilik rawatan.

“Kita mengambil masa sejam untuk membersihkan tumpahan menggunakan sulfur dan clorox bermula 10:20 pagi hingga 11:20 pagi setelah menerima panggilan pada jam 9:57 pagi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, tumpahan merkuri itu tidak menjejaskan operasi Klinik Kesihatan Kuala Lawas kerana ianya melibatkan sebuah bilik rawatan sahaja.

“Setakat ini sudah tiga kes tumpahan merkuri berlaku di Lawas termasuk hari ini dengan dua kes berlaku di Hospital Lawas,” katanya. – Bernama