Tumpas kes pecah kereta

Tumpas kes pecah kereta

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Pasukan Polis Diraja Brunei percayai mereka telah berjaya menumpaskan beberapa kes pecah kereta yang dilaporkan di Daerah Brunei dan Muara dengan penangkapan tiga lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan, kelmarin.

Menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei, hari ini, dua daripada suspek, berusia 35 dan 34 tahun, ditahan dalam satu serbuan yang diketuai oleh detektif-detektif Jabatan Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Daerah Brunei dan Muara ke atas sebuah rumah sewa di ibu negara di mana kedua-duanya menyembunyikan diri daripada polis sejak awal tahun ini.

Ketika disoal siasat, kedua-dua suspek berkenaan mengaku terlibat dalam beberapa kes pecah kereta di Daerah Brunei dan Muara dengan modus operandi mereka memecah tingkap dan mencuri barang-barang dalam kereta berkenaan.

Mereka ditahan reman sehingga 25 September bagi siasatan lanjut.

Antara barangan curi berhubung kes curi kereta yang berjaya ditumpas.
Antara barangan curi berhubung kes curi kereta yang berjaya ditumpas.

Sementara itu, seorang lagi suspek, 29, juga ditahan petang kelmarin dalam serbuan di kawasan perumahan Tanah Jambu bagi membantu siasatan polis.

Berikutan penangkapan ketiga-tiga suspek berkenaan, pihak polis berjaya menemukan semula beberapa barangan curi seperti komputer riba, adapter komputer riba, beg sandang, kad-kad ATM dan pengenalan, telefon bimbit serta alat-alat memancing. Selain itu, pihak polis juga merampas beberapa gajet elektronik dan aksesori kereta.

Ketiga-tiga suspek berdepan dakwaan-dakwaan hukuman di bawah Seksyen 379 dan 427 kanun jenayah Bab 22.

Sehubungan itu, orang ramai yang berkaitan diminta datang ke Balai Polis Pusat Bandar Seri Begawan semasa waktu pejabat bagi mengenal pasti barang-barang yang dirampas atau menghubungi talian 2242334 bagi butiran lanjut.

ARTIKEL YANG SAMA