Tumpu kawasan luar bandar

Tumpu kawasan luar bandar

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 31 Ogos – Kawasan luar bandar yang ada di negeri ini akan diberi tumpuan sebagai venue utama bagi penganjuran Hari Kebangsaan Peringkat Negeri yang diadakan secara bergilir-gilir selaras dengan hasrat kerajaan yang menekankan pembangunan di kawasan tersebut.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, selain Limbang, kawasan Sematan juga dipilih sebagai destinasi utama bagi perayaan Hari Kemerdekaan Sarawak yang diadakan pada 16 September depan.

Manakala katanya Sematan juga dipilih untuk pelancaran projek mega yang membawa manfaat bagi penduduk di negeri ini iaitu Pembinaan Jalan Pan Borneo dari Sematan ke Limbang.

“Limbang dipilih untuk perayaan Hari Kebangsaan ke-58 untuk memberi peluang kepada kawasan yang jauh dari pusat bandar untuk turut sama meraikan kemeriahan hari bersejarah itu,”katanya pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-58 Peringkat Negeri di Kompleks Sukan Limbang semalam.

Hadir memeriahkan hari bersejarah itu ialah Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Seri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib.

SELAMAT HARI KEBANGSAAN..Tun Taib (empat kiri), Adenan (tiga kiri) bersama kenamaan lain mengibarkan Jalur Gemilang pada Hari Kebangsaan semalam.
SELAMAT HARI KEBANGSAAN..Tun Taib (empat kiri), Adenan (tiga kiri) bersama kenamaan lain mengibarkan Jalur Gemilang pada Hari Kebangsaan semalam.

Turut sama ialah isteri Adenan Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, menteri-menteri muda, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan kenamaan lain.

Mengulas mengenai Hari Kebangsaan, Adenan memberitahu Tun Taib merupakan tokoh yang terlibat langsung dalam mempastikan perjalanan dan pengisian kemerdekaan untuk Sarawak.

“Malah Tun Taib juga mengambil peranan penting dalam membentuk sejarah negeri Sarawak,”katanya lagi.

Beliau berkata lagi Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini sungguh istimewa kerana tidak lagi perlu disebut sebagai Hari Kemerdekaan.

Jelasnya lagi, tema sehati sejiwa untuk tema sambutan hari Kebangsaan tahun ini memang telah sinonim dengan rakyat di negeri ini yang telah lama mengamalkan semangat perpaduan dan kerjasama walaupun hidup dalam kepelbagaian bangsa budaya dan adat resam.

Terdahulu Awang Tengah berkata rakyat di negeri ini terus mengukuhkan lagi kemuafakatan dan kerjasama, bersatu dalam kepelbagaian serta memberi sokongan kepada kerajaan untuk meneruskan agenda pembangunan.

Lebih 5,000 warga kota membanjiri Kompleks Sukan Limbang bagi menyaksikan perarakan yang bermula seawal jam 7 pagi itu.

Sekitar 65 kontinjen membabitkan lebih 3,000 peserta jabatan-jabatan kerajaan, badan berkanun ,persatuan parti-parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), swasta dan pelajar sekolah menyertai perarakan itu.

Acara dimulakan dengan persembahan koir lagu patriotik dari 500 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Limbang. Aktiviti lain termasuk perbarisan pasukan keselamatan, pertunjukan gerak gempur, pertunjukan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pertunjukan tempur tanpa senjata Angkatan Tentera Malaysia (ATM).