Tumpu usahawan tempatan

Tumpu usahawan tempatan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Pada masa ini, pihak kerajaan meningkatkan usaha untuk memastikan bahawa perusahaan-perusahaan tempatan termasuk perusahaan Melayu diberikan peluang untuk mengikuti sama dalam pelbagai projek pembangunan negara.

Dalam industri minyak dan gas iaitu bermula 2012, direktif telah dilaksanakan bagi pembangunan perniagaan tempatan (Local Business Development) di mana salah satu perkara yang dinyatakan adalah bagi kerja atau kontrak $10 juta ke bawah mestilah diberikan kepada syarikat bumiputera dengan hasrat untuk memberikan peluang kepada perusahaan-perusahaan bumiputera untuk berkecimpung dalam industri berkenaan.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar semasa sesi soal dan jawab pada Sesi Dialog DARe bersama Dewan Perniagaan Melayu dan Industri yang berlangsung di Auditorium, Bangunan Rekaan dan Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa, kelmarin.

Yang Berhormat Pehin berkata, memang diakui jika dilihat dalam sektor pembinaan, penyertaan syarikat-syarikat tempatan masih belum di tahap yang tinggi tetapi usaha sedang dilaksanakan untuk memperbaiki keadaan berkenaan.

“Ini adalah satu proses, penstrukturan semula transformasi ekonomi baru sahaja bermula iaitu November 2015 dan proses ini sedang berjalan.”

Yang Berhormat Pehin Haji Mohd Yasmin (tiga, kiri) ketika menyampaikan penerangan kepada para peserta sesi dialog berkenaan.
Yang Berhormat Pehin Haji Mohd Yasmin (tiga, kiri) ketika menyampaikan penerangan kepada para peserta sesi dialog berkenaan.

pg08_160506_b

Oleh itu, Yang Berhormat Pehin amat mengalu-alukan sesi konsultasi atau dialog yang diadakan bersama pihak-pihak usahawan yang berkenaan kerana pandangan dan input daripada mereka iaitu menumpukan kepada penglibatan syarikat-syarikat dan usahawan tempatan amat berguna sekali.

Yang Berhormat Pehin menyatakan lagi bahawa proses pembaharuan dan transformasi itu baru bermula di mana banyak lagi proses itu memerlukan data asas yang harus dikumpulkan bagi memberikan gambaran sebenar mengenai keadaan dan permasalahan semasa yang dihadapi oleh perusahaan dan usahawan tempatan.

Perkara ini, tegas Yang Berhormat Pehin, memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk para usahawan tempatan dalam sama-sama membantu pihak kerajaan untuk merealisasikan hasrat pembangunan ekonomi negara.

Beliau berkata, perkara yang sudah itu, harus ditinggalkan dan kini masanya untuk melihat ke hadapan serta diakui dalam tempoh beberapa tahun yang mendatang, pelbagai cabaran dan halangan yang akan dihadapi tetapi dengan sokongan berterusan daripada pihak usahawan seperti kerap mengadakan dialog, ia dapat memastikan penanda aras bagi keperluan peniaga-peniaga Melayu dapat dikenal pasti.

Yang Berhormat Pehin menambah lagi bahawa Ease of Doing Business adalah amat penting kerana kita harus bersaing dengan negara-negara lain di dunia tetapi kita harus bersaing dengan mereka secara bijak iaitu kita harus menjadi efisien.

Terdahulu itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu, Dr Haji Kamaruddin bin Dato Seri Paduka Haji Taib dalam kata alu-aluannya menyatakan penghargaan kepada pihak DARe atas inisiatif melaksanakan sesi dialog bersama Dewan Perniagaan Melayu serta untuk memberikan peluang kepada ahli-ahli dewan dan para usahawan Melayu untuk menyuarakan permasalahan serta pendapat untuk sama-sama membina lagi sektor perusahaan masyarakat Melayu tempatan.

Beliau berkata, dialog yang membina itu dapat lagi diadakan secara berterusan serta lebih kerap untuk mendatangkan manfaat bukan sahaja kepada pihak dewan perniagaan tetapi juga pihak kerajaan dengan berkongsi pendapat yang dipercayai dapat sama-sama membantu mengembangkan lagi sektor perusahaan dan ekonomi negara.

Sesi dialog kelima yang dikendalikan oleh DARe itu dihadiri oleh lebih 90 orang ahli Dewan Perniagaan dan Industri Melayu, pegawai-pegawai kanan dan pegawai dari agensi-agensi kerajaan serta kementerian-kementerian yang berkenaan dan juga ahli-ahli Lembaga DARe.

Sesi dialog itu bermatlamat untuk memberikan peluang kepada ahli-ahli Dewan Perniagaan Melayu untuk mengemukakan isu-isu perniagaan yang dihadapi oleh mereka selaku suara masyarakat perniagaan Melayu di Negara Brunei Darussalam.

Sesi dialog itu turut mendengar taklimat mengenai usaha kerajaan dalam membuat pembaikan bagi memulakan perniagaan di Brunei menerusi inisiatif Ease of Doing Business yang disampaikan oleh Awang Zulfadli bin Abu Bakar dari Unit Ease of Doing Business (EODB) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

ARTIKEL YANG SAMA