Tumpuan Van Gaal beralih ke Liga Europa

Tumpuan Van Gaal beralih ke Liga Europa

LONDON, 14 Feb – Louis van Gaal yang semakin tertekan mengakui Manchester United mungkin perlu menjuarai Liga Europa untuk melayakkan diri ke kancah Liga Juara-Juara musim depan selepas menyaksikan pasukannya tewas 2-1 di Sunderland, malam tadi.

Berhasrat untuk merapatkan jurang enam mata yang memisahkan mereka dengan slot ke Liga Juara-Juara, United ketinggalan seawal minit ke-3 menerusi sepakan percuma Wahbi Khazri yang gagal diselamatkan David de Gea.

Anthony Martial menyamakan kedudukan sebelum berakhir babak pertama, namun jaringan sendiri oleh De Gea pada minit ke-82 menghadiahkan Sunderland mata penuh dan meningkatkan tekanan kepada pengurus itu yang bergelut dengan prestasi hambar.

“Ia kini menjadi lebih sukar (untuk menamatkan cabaran dalam kedudukan empat terbaik) kerana kami hilang lima mata di tempat lawan, kepada Chelsea dan di sini,” kata Van Gaal yang turut merujuk kepada keputusan terikat 1-1 dengan Chelsea minggu lalu.

United berdepan skuad kerdil dari Denmark FC Midtjylland dalam pusingan 32 pasukan terakhir Liga Europa minggu depan dan Van Gall bersetuju bahawa peluang terbaik buat pasukannya mara ke Liga Juara-Juara adalah dengan menjuarai pertandingan kelas kedua itu.

“Selepas perlawanan ini, saya fikir ia adalah jalan terbaik buat kami,” katanya kepada BT Sport di Stadium of Light.

Pertahanan kanan Itali Matteo Darmian yang cedera bahu menambah kedukaan buat United, apabila Van Gaal berkata kecederaan itu mungkin memaksanya berehat selama beberapa minggu. – AFP