Tun Taib dan isteri hadir jamuan teh

Tun Taib dan isteri hadir jamuan teh

SIBU, 13 Sept (Bernama) – Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud bersama isteri Toh Puan Raghad Kurdi Taib hari ini menghadiri majlis jamuan teh sempena hari jadi ke-79 beliau di Dewan Kompleks Islam Sarawak di Jalan Awang Ramli Amit.

Ketibaan Taib dan isteri disambut dengan persembahan tarian tradisional masyarakat tempatan. Hadir menyambut ketibaan beliau ialah Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Wong Soon Koh; Menteri Pembangunan Sosial, Tan Sri William Mawam Ikom; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, dan ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua masyarakat Sibu. Taib kemudiannya menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM15,000 kepada 150 orang penerima pelbagai skim bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di daerah Sibu.

Selesai majlis jamuan, Taib dan isteri berkunjung ke galeri pameran untuk menyaksikan Pameran Dirgahayu Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak di kompleks sama.