Tunda perlawanan jika IPU melebihi 150

Tunda perlawanan jika IPU melebihi 150

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) – Perlawanan Piala Malaysia 2015 akan ditunda serta-merta ke tarikh baru jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada hari perlawanan di sesebuah venue melebihi 150.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah berkata komisioner perlawanan diberi kuasa untuk membatalkan dan menunda mana-mana perlawanan jika keadaan semasa adalah memudaratkan kepada kedua-dua pasukan.

Keputusan berkenaan (penundaan perlawanan) dibuat selepas mengambil kira faktor keadaan jerebu yang tidak boleh diramal dan dijangka serta bacaan IPU dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar adalah berdasarkan bacaan purata di sesuatu kawasan tertentu dan bukannya menjurus spesifik di venue perlawanan, katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Afandi yang juga Timbalan Presiden FAM berkata aksi Kumpulan C Piala Malaysia antara Selangor dan Felda United di Stadium Shah Alam, Sabtu lepas, tetap diteruskan kerana bacaan IPU di Shah Alam pada hari berkenaan belum melebihi 150, yang merupakan tahap tidak sihat.

Beliau berkata bacaan IPU di Shah Alam pada hari perlawanan itu adalah 111 pada 6 petang, 119 (7 malam) dan 128 (8 malam).

Media hari ini melaporkan, beberapa pemain pasukan Felda United dan Selangor mendakwa mengalami kesukaran untuk bernafas selain pedih mata susulan keadaan berjerebu di Stadium Shah Alam.

ARTIKEL YANG SAMA