Tunggu pengesahan lanjut KHEDN

Tunggu pengesahan lanjut KHEDN

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 21 Mei – Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria menyatakan bahawa arahan ke atas semua kedai-kedai supaya tidak beroperasi melebihi jam 12 malam pada masa ini adalah sebagai ‘garis panduan’ sehingga Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) mengeluarkan pengesahan selanjutnya.

Pengerusi Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, Haji Ali bin Matussin, semasa ditemui hari ini, menasihatkan penduduk di Daerah Belait supaya menunggu KHEDN mengeluarkan kenyataan yang akan menjelaskan tentang arahan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan pada 14 Mei lalu.

Menurutnya, surat pemberitahuan itu telah dikeluarkan kepada semua Jabatan Bandaran, termasuk Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria.

“Masa berniaga tidak melebih jam 12 malam sebenarnya sudah lama diaplikasikan ke atas kedai-kedai di daerah ini dari dulu lagi.

“Semasa atau pada musim Sambutan Hari Raya, misalnya, kedai-kedai membuat jualan murah di pasar-pasar raya dan kedai-kedai pakaian, mereka mesti membuat permohonan untuk menambahkan waktu operasi perniagaan yang melebihi jam 12 malam,” ujarnya.

Menyentuh tentang kebenaran dibolehkan membuka perniagaan selepas jam 12 malam, terutama musim bulan Ramadan sudah dekat, beliau memberitahu, perkara itu belum dapat ditetapkan sehingga mendapat keputusan daripada pihak KHEDN.

Surat pemberitahuan yang dikeluarkan baru-baru ini, menekan bahawa kedai-kedai dan kedai makan yang beroperasi melebih jam 12 malam, akan dikenakan tindakan-tindakan tertentu seperti mengeluarkan notis/surat penggantungan mahupun pembatalan Lesen Perniagaan.

Pemberitahuan juga menyatakan, kebenaran berniaga selepas 12 malam yang diberikan kepada beberapa buah kedai termasuk kedai makan sebelum ini adalah dibatalkan.

ARTIKEL YANG SAMA