Tunjuk bakat silat Melayu

Tunjuk bakat silat Melayu

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 26 Ogos – Majlis Perundingan Mukim (MPM) Seria, telah menampilkan belia-belia berbakat dalam seni silat, melalui Persembahan Pesilat Warisan Seni Pelangi dalam Persembahan Pementasan Perayaan Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke 69 Tahun, peringkat Daerah Belait yang diadakan semalam.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Kejiranan Mukim Seria Sarjan Mejar Zamri bin Haji Buang. Hadir sama ialah Penghulu Mukim Seria Haji Jamail bin Haji Linap serta Ketua Kampung Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lorong Tiga Seria, Haji Saidin dan ahli-ahli jawatankuasa MPM dan Majlis Perundingan Kampung Seria.

Persembahan pada malam itu juga turut menampilkan belia-belia yang terlibat dalam sukan Wushu, terdiri daripada kalangan ahli-ahli Persatuan Wushu Federation Belait yang sudah tidak asing lagi di kalangan peminat seni tersebut.

Salah seorang pesilat beliawanis menunjukkan gerak langkahnya pada persembahan Kenangan Mukim Seria.
Salah seorang pesilat beliawanis menunjukkan gerak langkahnya pada persembahan Kenangan Mukim Seria.

Malam Persembahan Kenangan Mukim Seria diadakan di Pentas Tudong Saji di sini malam tadi, yang turut dimeriahkan dengan persembahan-persembahan hiburan lainnya termasuk nyanyian duet, persembahan nyanyian daripada Penghulu Mukim Seria serta persembahan penyanyi jemputan dan sebagainya.

Selain itu, persembahan seperti tarian tradisi Melayu seperti Joget, dan tarian Poco-Poco juga turut dipersembahkan. Tarian Dayak dan beberapa persembahan lain telah menceriakan lagi persembahan pentas yang dikendalikan oleh MPM Seria.

ARTIKEL YANG SAMA