Tunjuk bakat terpendam

Tunjuk bakat terpendam

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Bagi mencari bakat baru dalam bidang kesenian, I Lyke Toh Entertaintment (ILTE) telah mengadakan sesi uji bakat bermula 1 petang hingga 9 malam di aras bawah Kompleks Membeli-belah The Mall di Gadong, di sini, hari ini.

Lebih 60 ahli ILTE bersama Kelab Lancer Convert Brunei (LCCB) terlibat dalam sesi berkenaan yang menyaksikan sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai yang datang untuk menunjukkan pelbagai bakat dalam bidang kesenian.

Ketika ditemui, Pegawai Pemasaran ILTE, Haji Mohd Yunus bin Haji Mohd Salleh meluahkan keterujaan melihat sambutan yang ditunjukkan oleh bakat-bakat tempatan mewarnai persada seni tanah air yang semakin berkembang.

“Ramai sudah berbaris untuk diuji bakat sebelum 1 petang lagi dan ini membuktikan bidang kesenian semakin diterima dan semakin maju di negara ini,” ujar Haji Yunus.

Ditanya mengenai persada seni tempatan, beliau berkata ia semakin berkembang berbanding dahulu dan menampakkan peluang perluasan yang berpotensi tinggi apatah lagi dengan sambutan dan respons positif mereka yang tampil ke hadapan seperti hari ini.

Salah seorang daripada peserta uji bakat (kiri sekali) sebelum disaring.
Salah seorang daripada peserta uji bakat (kiri sekali) sebelum disaring.
Sebahagian daripada ahli ILTE dan LCCB di Kompleks Membeli-belah The Mall, Gadong.
Sebahagian daripada ahli ILTE dan LCCB di Kompleks Membeli-belah The Mall, Gadong.

“Pada saya, dalam masa 10 hingga 20 tahun lagi, kita akan melihat revolusi seni tempatan berdasarkan keupayaan kita menghasilkan bakat-bakat yang berkualiti dan berdaya saing seperti yang ada sekarang,” ujarnya.

Masitah Tamil adalah antara yang mempunyai bakat besar yang diketengahkan oleh ILTE sebagai penyanyi, selain itu, Beracunz atau nama sebenarnya Jaynudin bin Haji Jaya yang juga pemilik ILTE turut mengukir nama di arena seni tempatan.

“Kami akan mengadakan uji bakat yang sama pada 26 dan 27 September 2015 di Atrium Airport Mall dan orang ramai sekali lagi dijemput untuk tampil berkongsi kebolehan masing-masing,” kata beliau lagi. Selain sesi uji bakat, beliau turut mengalu-alukan bakat tempatan untuk menghubungi mereka melalui e-mel ilyketoh@hotmail.com untuk berkongsi bakat dan ditampilkan di pelbagai platform persembahan yang ada.

ARTIKEL YANG SAMA