Tunjuk cara tindakan awal memadam api

Tunjuk cara tindakan awal memadam api

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 23 Mei – Kira-kira 100 orang dalam kalangan penghuni Rumah Panjang Buau dan ahli keluarga mereka yang datang di hujung minggu, telah berpeluang mendengarkan taklimat dan tunjuk cara tindakan awal memadam api jika berlakunya kebakaran di rumah panjang.

Taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Balai, Stesen Komander Balai Bomba Sungai Liang, Awang Muhamad Ali bin Hassan. Turut hadir ialah Pegawai Perhubungan Awam, Cawangan Operasi B Daerah Belait, SO Azlina binti Haji Adenan.

Sejurus selepas penyampaian taklimat, penghuni rumah panjang berkenaan berserta ahli keluarga mereka juga diberikan latihan secara praktikal tatacara memasang key in bar serta hydrant adaptar di pili bomba, serta tatacara mengorak dan mengemas hos selepas penggunaannya.

Mantan Ketua Rumah Panjang Buau, Awang Bundak anak Ambas, memberitahu, dengan berkumpulnya penghuni rumah panjang bersama ahli keluarga di hujung minggu, mereka telah menggunakan kesempatan itu mengundang Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memberikan taklimat dan tunjuk cara tindakan awal memadam api.

Sehubungan itu, beliau juga merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat yang telah memenuhi undangan penghuni rumah panjang.

SO Azlina menyampaikan sumbangan peralatan pemadam api bagi keperluan penghuni Rumah Panjang Buau.
SO Azlina menyampaikan sumbangan peralatan pemadam api bagi keperluan penghuni Rumah Panjang Buau.

Menurutnya, jabatan tersebut telah menunjukkan komitmen dalam memberikan sokongan kepada masyarakat luar bandar walaupun dalam luar waktu bertugas, di samping menyalurkan maklumat yang sangat bermanfaat kepada penghuni rumah panjang dan ahli keluarga mereka.

Sementara itu, Awang Muhamad Ali memberitahu, setakat ini rumah panjang yang sudah diberikan pili bomba ialah Rumah Panjang Apak-Apak Bang Taong dan Rumah Panjang Buau, dan menurutnya ia tertakluk kepada kemudahan yang diberikan oleh Jabatan Kerja Raya melalui kemudahan jalan raya dan paip utama.

“Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat, sentiasa memberikan sokongan dan mengesyorkan pemasangan alat-alat keselamatan pemadam api di rumah-rumah panjang memandangkan penghuni di sini berada jauh dari kawasan Balai Bomba.

“Setakat ini, jabatan juga merancang untuk memberikan pendidikan dengan memberikan taklimat keselamatan mencegah kebakaran dan memadam api dengan melibatkan agensi-agensi tertentu seperti pihak perubatan, penerangan dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM),” katanya.

Sejurus sebelum taklimat dan tatacara tindakan awal memadam api diadakan, penghuni rumah panjang tersebut bersama ahli-ahli keluarga mereka juga telah melakukan kerja gotong-royong membersihkan di kawasan luar dan dalam rumah panjang tersebut.

Rumah Panjang Buau pada masa ini mempunyai sebanyak 20 pintu yang dihuni oleh seramai 20 orang ketua keluarga, dan lazimnya pada hujung minggu, ahli-ahli keluarga yang kebanyakannya bekerja di kawasan bandar pulang mengunjungi ibu bapa mereka di pedalaman.

ARTIKEL YANG SAMA