Tunjuk semangat orang lama

Tunjuk semangat orang lama

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Dengan hasrat untuk memperbaiki lagi persembahan penyertaan terdahulu dan untuk memberikan saingan yang terbaik, pasukan bola keranjang veteran Negara Brunei Darussalam bakal beraksi dalam Kejohanan Jemputan Bola Keranjang Cina Antarabangsa Macau 2016 yang akan bermula pada 14 hingga 15 Mei nanti.

Perjuangan pasukan veteran negara dalam kejohanan itu diberikan suntikan semangat apabila Fitness Zone, sekali lagi tampil ke hadapan untuk menaja jersi yang bakal disarung oleh pemain-pemain veteran negara apabila bakal beraksi di kejohanan itu nanti.

Pada majlis penyerahan jersi yang diadakan di Gelanggang Bola Keranjang, Fitness Zone, Kiulap, kelmarin, jersi itu telah disampaikan oleh Pengasas Fitness Zone, Wu Chun kepada Kapten Pasukan Veteran Brunei, Khoo Eng Cheong.

Negara Brunei Darussalam akan mengambil bahagian dalam kategori 50 tahun ke atas di mana kejohanan itu nanti bakal menyaksikan penyertaan pasukan-pasukan bola keranjang jemputan dari tujuh buah negara termasuk Negara Brunei Darussalam, Hong Kong, Malaysia, Singapura, Republik Rakyat China, Filipina dan Indonesia.

Wu Chun menyerahkan jersi kepada Khoo dengan diiringi oleh beberapa orang pemain Pasukan Veteran Brunei yang akan beraksi di Macau nanti.
Wu Chun menyerahkan jersi kepada Khoo dengan diiringi oleh beberapa orang pemain Pasukan Veteran Brunei yang akan beraksi di Macau nanti.

Pasukan veteran negara dibarisi oleh pemain-pemain veteran yang berpengalaman dan juga mengetengahkan beberapa orang pemain veteran baru bagi memberikan suntikan serangan dan pertahanan yang lebih kepada pasukan berkenaan.

Bagi memastikan pasukan veteran negara bersedia untuk menghadapi cabaran yang bakal di tempuhi sepanjang kejohanan itu, pasukan negara terus mengadakan latihan dan perlawanan persahabatan untuk memastikan keserasian taktik dan prestasi pemain berada di tahap yang tertinggi.

ARTIKEL YANG SAMA