Tuntut dan ajarkan ilmu

Tuntut dan ajarkan ilmu

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Ilmu pengetahuan adalah sangat penting dalam kehidupan manusia kerana dengan ilmu pengetahuan dapat membantu seseorang berjaya di dunia dan di akhirat.

Siapa yang menginginkan kejayaan dan kebahagiaan dunia dan akhirat hendaklah mempunyai ilmu pengetahuan dan melihat pentingnya ilmu ini, umat Islam diperintahkan menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan.

Perkara ini ditekankan oleh Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini yang seterusnya menambah, siapa yang berusaha mencari ilmu pengetahuan, ganjarannya adalah besar iaitu akan dipermudahkan oleh Allah untuk masuk ke dalam syurga.

Selain mencari ilmu, agama Islam juga menuntut umatnya untuk menyebarkan ilmu dan mengajarkan kepada orang lain, kerana amalan sedemikian dikira sedekah.

Menurut Khatib lagi, dalam mencari ilmu, perlunya mencari pembimbing atau guru, seperti yang diketahui tugas guru adalah untuk memimpin, mengajar dan menyampaikan ilmu.

Menurutnya, guru ibarat cahaya menerangi kegelapan dan guru juga adalah sebagai petunjuk dan panduan dalam memahami apa jua ilmu yang dipelajari.

“Tanpa adanya guru, kita tidak akan tahu mana yang benar dan tidak mendapat petunjuk yang lurus,” jelasnya.

Sehubungan itu, peranan guru dalam menyebarkan ilmu pengetahuan adalah sangat besar, mulia dan tinggi nilainya. Manakala sebagai orang yang menuntut ilmu, seseorang itu hendaklah menghormati guru kerana martabat guru itu sangat tinggi di sisi Allah.

Guru juga perlu dihormati dan disegani serta tidak wajar bagi penuntut atau ibu bapa mencerca, menghina atau memburukkan guru, apatah lagi sehingga mencederakan mereka.

Mereka juga adalah orang yang banyak berjasa dalam memberi ilmu pengetahuan dan menjadikan penuntut orang yang berjaya dalam kehidupan dan perlunya mengenang jasa guru selama-lamanya, jelas Khatib.

Seorang guru cemerlang, dihormati dan disegani serta berwibawa perlu memiliki adab-adab sebagai seorang guru sebagaimana yang digariskan oleh Islam. Antaranya bersifat sabar atas sesuatu yang menyusahkan dari muridnya dan jangan cepat marah terhadap muridnya.

Selain itu, guru hendaklah memberi kasih sayang terhadap para murid dan bersifat lemah lembut dan hendaklah memperlakukan muridnya seperti anaknya sendiri.

Menurut Khatib, dalam era globalisasi guru perlu menghadapi cabaran sama ada dalam proses pendidikan, antaranya pengaruh perkembangan teknologi, maklumat dan komunikasi serta gejala sosial dalam kalangan pelajar merupakan antara cabaran dan tugasan yang perlu diambil perhatian oleh guru.

Dalam perkara ini, guru diseru untuk tidak mengambil mudah dan ringan peranan besar mereka terhadap anak bangsa di mana mereka mestilah memberikan latihan, bimbingan pertunjuk dan juga motivasi kepada anak muridnya.

“Ini akan dapat melahirkan insan yang cemerlang di bawah didikan guru yang berkualiti,” tambahnya.

Menurut Khatib lagi, dalam mendidik anak bangsa, ibu bapa dan masyarakat perlu berganding bahu dan bekerjasama dengan guru-guru dalam membentuk anak-anak menjadi insan cemerlang dan berkualiti di masa hadapan.

Guru hanya mampu mendidik mereka di sekolah tetapi di luar dari sekolah ia tanggungjawab ibu bapa dan masyarakat untuk memerhati, mendidik, memberi kasih sayang, mengambil peduli serta memberi teguran dan nasihat kepada anak-anak supaya mereka merasa dikasihi, disayangi, dihormati dan dihargai.

ARTIKEL YANG SAMA