Tuntut lindungi Wilayah Palestin

Tuntut lindungi Wilayah Palestin

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Malaysia menuntut perlindungan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan antarabangsa untuk Wilayah Palestin yang diduduki bagi menghalang berterusannya pembunuhan dan pencabulan ke atas hak asasi manusia.

Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Ramlan Ibrahim berkata perlindungan PBB itu juga dapat membantu Israel menyelesaikan masalah keselamatannya.

“Gesaan untuk perlindungan PBB selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, khususnya Konvensyen Geneva bagi memastikan ketelusan semua pihak dalam konflik.

“Ia akan menguatkuasakan atau memantau pematuhan undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi antarabangsa dan pelbagai resolusi Perhimpunan Agung dan Majlis Keselamatan bagi memelihara keamanan dan keselamatan di wilayah yang diduduki,” katanya dalam kenyataan semasa Mesyuarat Tergempar Majlis Keselamatan mengenai situasi di Timur Tengah termasuk Persoalan Palestin di New York pada Jumaat. Kenyataan tersebut dikeluarkan di sini, hari ini.

Ramlan berkata perlindungan tersebut pernah dilaksanakan dalam sejarah PBB termasuk di Kosovo, Timor Leste, Lubnan, Bosnia Herzegovina dan Palestin sendiri.

“Majlis tidak boleh menangguhkan mesyuarat berhubung cadangan itu dan Malaysia mahu bekerjasama rapat dengan Setiausaha Agung PBB dan anggota Majlis keselamatan berhubung perkara ini.

“Dalam gesaan untuk perlindungan PBB bagi mengatasi krisis semasa, kita tidak boleh terlepas pandang kepada keperluan jangka panjang untuk penyelesaian akhir komprehensif kepada konflik,” jelas beliau.

Ramlan berkata selepas 70 tahun kegagalan memberikan pemerintahan sendiri kepada rakyat Palestin, masyarakat antarabangsa kehilangan dalil untuk membenarkan alasan yang mewajarkan penjajahan Israel. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA