Tuntut Neymar digantung enam bulan

Tuntut Neymar digantung enam bulan

SAO PAULO, 16 Okt (AFP) – Kelab Brazil, Santos menuntut agar pemain bintang, Neymar dikenakan enam bulan penggantungan kerana melanggar peraturan perpindahan ketika penyerang itu berpindah ke Barcelona pada 2013.

Laman sesawang bola sepak GloboEsporte melaporkan, Santos turut menuntut ganti rugi mencecah 57 juta euro (AS$64.8 juta) daripada bintang Brazil berusia 23 tahun itu.

“Pemain terbabit sepatutnya dikenakan hukuman penggantungan enam bulan daripada sebarang perlawanan rasmi,” kata Santos yang mengemukakan tuntutan itu kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hari ini.

GloboEsporte juga berkata, Santos mendakwa Neymar menunjukkan etika yang buruk dan melanggar kod disiplin badan bola sepak dunia FIFA apabila berpindah ke Sepanyol.

Neymar yang kini menjadi kapten skuad kebangsaan Brazil sejak beberapa minggu ini dilanda kontroversi.

Pada bulan lalu, mahkamah Brazil membekukan aset hampir AS$47 juta (42 juta euro) yang dimiliki Neymar selepas berdepan tuduhan mengelak cukai.

Di padang pula, Neymar digantung minggu ini daripada beraksi untuk Brazil menentang Chile dan Venezuela bagi kempen Kelayakan Piala Dunia selepas menerima larangan empat perlawanan apabila dibuang padang ketika aksi Copa America.

ARTIKEL YANG SAMA