Tuntutan semula GST ditolak

Tuntutan semula GST ditolak

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) – Kementerian Kewangan menggesa perniagaan yang tuntutan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mereka ditolak membuat rayuan secepat mungkin di cawangan utama Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Chua Tee Yong berkata sejak pelaksanaan GST pada 1 April lalu, nilai tuntutan cukai input yang ditolak adalah sekitar RM400 juta.

Tuntutan bayaran balik ditolak atas beberapa sebab termasuk maklumat dan dokumen tidak lengkap serta tuntutan cukai input tidak sah atau cukai input disekat, katanya dalam temu bual dengan Bernama Khamis.

“Semua ini, kecuali cukai input disekat, boleh dirayu,” katanya.

Beliau berkata tuntutan yang ditolak lazimnya berpunca daripada kegagalan perniagaan memberi maklum balas kepada e-mel kastam berhubung kesilapan dalam serahan tuntutan.