Turki akan me...

Turki akan membida hos kejohanan Euro 2024

ISTANBUL, 15 Feb – Persekutuan Bola Sepak Turki (TFF) mengesahkan hari ini, negara itu akan membida menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Euro 2024, sekali gus menjadi acara sukan terbesar pernah diadakan di negara itu.

Pada 2014, negara berkenaan menarik diri dalam usaha menawarkan diri sebagai tuan rumah pusingan akhir perlawanan Euro 2020, yang uniknya akan diadakan di sekitar Eropah, berbanding hanya memberikan fokus terhadap satu negara pada 2024.

Bidaan berkenaan diumumkan di ibu pejabat TFF di sini oleh Menteri Sukan Akif Cagatay Kilic dan presiden TFF Yildirim Demiroren.

Demiroren berkata bidaan itu secara formal akan dibawa kepada UEFA pada 2 Mac, sejurus sebelum tarikh akhir pencalonan.

“Saya harap ia akan berhasil membawa sesuatu yang cantik buat negara kami,” kata Kilic sambil menegaskan bidaan itu sudah dipersetujui Presiden Recep Tayyip Erdogan.

“Pada tahun lalu, Turki sudah membuat langkah besar dalam aspek pembangunan stadium. Turki boleh menganjurkan apa saja sukan tahap dunia,” katanya.

Pihak berkuasa Turki sedikit kecewa selepas Istanbul tewas kepada Tokyo dalam usaha menganjurkan Olimpik 2020 dan percaya negara itu kini memiliki infrastruktur untuk menganjurkan kejohanan yang sama besarnya.

Turki juga sedikit terlepas menerusi keadaan kontroversi kepada Perancis dalam usaha menganjurkan kejohanan Euro 2016.

Dalam usaha mendapatkan penganjuran 2024, Turki akan berdepan saingan daripada tuan rumah Piala Dunia 2006 Jerman yang sudah menyatakan minat selain gabungan negara Scandinavia. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA