Turki batal penghantaran tentera ke Iraq tetapi tidak akan berundur

Turki batal penghantaran tentera ke Iraq tetapi tidak akan berundur

ANKARA, 8 Dis – Turki telah membatalkan penghantaran tentera ke utara Iraq buat masa ini namun tidak akan mengundurkan mereka yang sudah berada di sana, menurut Kementerian Luar Negeri Turki hari ini, selepas Baghdad menuntut pengunduran askar-askar yang dihantar berhampiran bandar Mosul yang ditawan kumpulan Islamic State (IS).

Dalam temu bual telefon bersama rakan sejawatannya Iraq lewat kelmarin, Menteri Luar Negeri Turki Mevlut Cavusoglu mengulangi semula respek Ankara bagi integriti wilayah Iraq, jurucakap kementerian luar negeri Turki, Tanju Bilgic memberitahu para wartawan.

Turki mengatakan penghantaran terbaru tentera ke utara Iraq adalah sebahagian daripada misi untuk melatih dan melengkapi pasukan Iraq. Kerajaan Iraq mengatakan ia tidak mengundang pasukan berkenaan dan akan membawa kes itu ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) jika mereka tidak mengundurkan diri.

Berasingan, Perdana Menteri Turki Ahmet Davutoglu mengatakan dia ingin melawat Baghdad secepat mungkin untuk cuba menenangkan pertikaian berhubungan pengerahan tentera itu.

Tentera Turki berada di Iraq untuk melindungi kemungkinan serangan daripada IS dan mereka yang mentafsirkan kehadiran mereka secara berlainan yang terlibat dalam ‘provokasi sengaja’, kata Davutoglu dalam ucapan kepada partinya dalam parlimen.

Dia juga mengatakan Ankara telah membincangkan langkah munasabah ke atas Rusia pada mesyuarat kabinet kelmarin dan akan mengenakan sekatan jika perlu, sementara masih terbuka pada rundingan dengan Moscow. – Reuters