Turki beri amaran EU

Turki beri amaran EU

GAZIANTEP, Turki, 24 April – Turki berpegang pada dasarnya berhubung isu perjalanan tanpa visa untuk rakyatnya semalam, mengingatkan Canselor Jerman Angela Merkel dan pegawai kanan EU bahawa ia akan berhenti menerima semula pendatang dari Eropah jika blok gagal menunaikan janjinya.

“Isu penepian visa adalah penting untuk Turki,” kata Perdana Menteri Ahmet Davutoglu pada satu persidangan akhbar bersama dengan Merkel, ketua Majlis Eropah Donald Tusk dan Naib Presiden Suruhanjaya Eropah Frans Timmermans.

Pemimpin berkenaan berada di tenggara Turki untuk lawatan bertujuan merangsang satu perjanjian bernilai enam bilion euro untuk memulangkan pendatang yang tiba di pantai Greece ke Turki. Perjanjian tersebut telah dibelenggu oleh isu moral dan undang-undang.

Jika Ankara memenuhi perjanjian bagi pihak mereka, Suruhanjaya Eropah telah berjanji akan mencadangkan kepada negara EU pada bulan depan untuk meluluskan perjalanan tanpa visa untuk rakyat Turki. Namun timbulnya kebimbangan yang meningkat di Eropah bahawa isu keselamatan dielakkan untuk mempercepat permohonan Turki.

Davutoglu berkata kunci kepada penyelesaian krisis pendatang terletak pada “kerjasama erat, dan bagi kami sebahagian daripada kerjasama erat itu adalah pelonggaran visa. Kedua-duanya wujud seiring.”

Merkel menjawab beliau “berhasrat memenuhi perjanjian itu, dengan syarat Turki membawa keputusan” ke meja rundingan. Ankara mesti memenuhi 72 syarat untuk mendapatkan penepian visa dan dipercayai telah memenuhi separuh daripada syarat berkenaan.

Ketika ditanya apa yang akan dilakukan oleh Turki jika EU cuba menangguh perjanjian visa, Davutoglu berkata Ankara akan berhenti menerima semula pendatang. “Jika ia berlaku, maka perjanjian kemasukan semula juga tidak akan dikuatkuasakan,” kata beliau.

Presiden Recep Tayyip Erdogan telahpun mengingatkan pada awal minggu bahawa perjanjian akan menemui kegagalan jika EU gagal dengan visa. Kira-kira 325 pendatang telah dipulangkan ke Turki dari pulau Greece sejak perjanjian dikuatkuasakan pada 20 Mac, kebanyakannya dari Pakistan dan Afghanistan. – AFP