Turki mahu semua negara Islam bersatu bantu pelarian

Turki mahu semua negara Islam bersatu bantu pelarian

KUALA LUMPUR, 25 Sept – Turki menggesa semua negara Islam berganding bahu untuk membantu pelarian Islam yang sebahagian besarnya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Timbalan Menteri Keluarga dan Dasar Sosial negara itu, Mehmet Ersoy berkata perkara tersebut adalah antara isu utama yang dikemukakan untuk perbincangan pada Sidang Kemuncak dan Pameran Dunia Wanita Islam 2016 (WISE 2016) di sini. “Kami ke sini dengan beberapa Anggota Parlimen wanita kami untuk membincangkan masalah itu dan cuba mencari penyelesaiannya pada Sidang Kemuncak Wanita Islam Sedunia (WISE 2016).

“Terdapat 3.5 juta orang di seluruh dunia yang dipaksa menjadi orang pelarian, kami percaya satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah ini ialah melalui perpaduan,” katanya pada sidang media di sini hari ini. Mehmet berkata dunia Islam sedang berdepan dengan kesulitan kerana sebahagian besar masalah orang pelarian wujud di negara Islam, di samping perang dan konflik dalaman.

“Oleh itu, adalah amat penting negara Islam cuba memahami dan menyelesaikan masalah ini atas semangat persaudaraan seperti yang dianjurkan oleh Quran,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA