Turki pecat 94 pengadil

Turki pecat 94 pengadil

ISTANBUL, 3 Ogos – Pihak berkuasa bola sepak Turki telah memecat 94 pegawai termasuk pengadil berikutan rampasan kuasa 15 Julai yang cuba menjatuhkan Presiden Recep Tayyip Erdogan, persekutuan bola sepak berkata semalam.

“Persekutuan kami dianggap perlu untuk memecat 94 orang termasuk pengadil serantau dan kebangsaan, penolong pengadil, ahli jawatankuasa pengadil serantau dan pemerhati kebangsaan dan serantau,” kata Persekutuan Bola Sepak Turki (TFF) dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu tidak memberikan butiran lanjut tetapi akhbar harian Hurriyet menyatakan, salah seorang pengadil yang terlibat adalah seorang pegawai yang bertugas dalam Super Lig tetapi tanpa memberi namanya.

Rampasan kuasa 15 Julai yang dipersalahkan ke atas pengikut pendakwah yang berpangkalan di Amerika, Fethullah Gulen telah memberi kesan kepada setiap lapisan masyarakat di Turki dengan bola sepak juga tidak terkecuali.

Semua ahli jawatankuasa TFF meletak jawatan pada hujung minggu bagi membenarkan “pemeriksaan keselamatan” untuk melihat jika ada hubungan dengan gerakan Gulen.

Penyerang bintang untuk pasukan Besiktas, Mario Gomez dari Jerman yang merupakan penjaring terbanyak dalam Super Lig tahun lepas, mengumumkan beliau meninggalkan kelab itu kerana keadaan politik.

Rakaman yang disiarkan oleh televisyen Turki juga menunjukkan helikopter dirampas oleh komplot rampasan kuasa mendarat di tengah padang stadium Besiktas pada malam rampasan kuasa.

Walau bagaimanapun, Ketua TFF Yildirim Demiroren berkata kesemua perlawanan antarabangsa Super Lig dan lain-lain perlawanan akan dijalankan seperti yang dijadualkan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA