Turki, Rusia tandatangani perjanjian talian paip gas

Turki, Rusia tandatangani perjanjian talian paip gas

ISTANBUL, 11 Okt – Turki dan Rusia hari ini menandatangani satu perjanjian untuk membina talian paip gas dari Rusia ketika dua buah negara itu menekan usaha selanjutnya untuk memulihkan hubungan.

Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyaksikan menteri-menteri tenaga kedua-dua negara menandatangani persetujuan antara kerajaan bagi projek ‘Turkish Stream’ yang akan membawa gas dari Rusia ke Turki.

Ia kemudian akan diedarkan ke negara-negara Kesatuan Eropah.

Projek itu, yang telah ditangguhkan di tengah-tengah ketegangan antara kedua-dua buah negara, telah ditandatangani semasa Kongres Tenaga Sedunia kali ke-23 yang diadakan di Istanbul.

Dalam langkah lain yang bertujuan untuk memulihkan hubungan, Putin mengumumkan yang Rusia telah bersetuju untuk mengurangkan harga eksport gas cecair asli ke Turki dan menyambung semula untuk mengimport buah-buahan, sayur-sayuran dan barangan pertanian lain dari negara itu.

Rusia sedang membina kilang tenaga nuklear pertama Turki, dan Erdogan berkata kedua-dua belah pihak bersetuju untuk mempercepatkan projek tersebut.

“Saya amat yakin proses memulihkan hubungan kami akan terus lancar,” Erdogan memberitahu para wartawan semasa sidang media bersama. – AP

ARTIKEL YANG SAMA