Turki sekat Twitter

Turki sekat Twitter

ISTANBUL, 23 Julai – Turki menyekat akses ke Twitter semalam untuk menghalang penyebaran gambar mengenai serangan pengebom nekad di Suruc yang mengakibatkan 32 kematian, Isnin lalu, lapor agensi berita kerajaan Anadolu.

Kerajaan juga cuba menyekat pengguna Twitter daripada memprotes terhadap kerajaan apabila dilihat tidak cukup bersedia menghalang kejadian itu berlaku.

Mahkamah di Suruc melarang penerbitan gambar berhubung pengeboman itu di media termasuk Internet dan platform media sosial selain mengarahkan sekatan akses ke laman Internet yang tidak mematuhi perintah berkenaan. Pegawai kerajaan berkata, Turki meminta Twitter membuang 107 URL mengandungi gambar terlarang.

Akses ke Twitter dijangka dipulihkan sebaik semuanya berjaya dibuang.

Sementara itu, pihak berkuasa Turki berjaya mengenal pasti suspek yang melakukan serangan di Suruc sebagai Seyh Abdurrahman Alagoz, 20, berdasarkan kad pengenalan warga tempatan ditemui di lokasi kejadian.

Sumber berkata, Seyh dan abangnya Yunus Emre melarikan diri dari rumah mereka di Adiyaman enam bulan lalu. Keluarganya turut meninggalkan kediaman itu sebaik timbul laporan media menamakannya sebagai suspek.

Media Turki melaporkan ibunya berkata, dia pulang ke rumah 10 hari lalu sebelum sekali lagi menghilangkan diri. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA